Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raja Charles III rai Hari Keputeraan ke-76 tahun

    LONDON, 14 NOV — Raja Britain, Charles III, hari ini menyambut Hari Keputeraan Baginda ke-76 tahun dengan penuh komitmen terhadap tugas diraja meskipun sedang menjalani rawatan kanser, sekali gus membuktikan semangat Baginda yang tidak pernah pudar.

    Putera sulung Baginda dan pewaris takhta Britain, Putera William, menyifatkan tahun ini sebagai ‘tahun yang sangat mencabar.’

    Baginda menghentikan tugas rasmi buat seketika pada Februari lalu setelah disahkan menghidap kanser yang tidak didedahkan secara terperinci. Namun, hanya dua setengah bulan kemudian, Baginda kembali menjalankan tugas pada akhir April.

    “Masalahnya ialah untuk menghentikannya daripada terus bekerja,” ujar Permaisuri Camilla beberapa kali sejak itu.

    Pada bulan lalu, pasangan diraja itu meneruskan lawatan rasmi ke luar negara, termasuk menghadiri mesyuarat ketua-ketua kerajaan Komanwel di Australia dan Samoa, dengan Raja Charles menghentikan rawatan buat sementara waktu demi lawatan tersebut.

    Menurut sumber dalaman istana, Charles kembali dengan penuh ‘semangat’ selepas perjalanan selama 11 hari itu, malah seorang pegawai istana menyatakan Baginda merancang untuk kembali mengadakan jadual lawatan antarabangsa seperti biasa pada tahun hadapan.

    Keazaman Baginda mungkin juga didorong oleh pengalamannya sebagai pewaris takhta paling lama dalam sejarah Britain, mengambil alih tugas sebagai Raja pada usia 70 tahun setelah kemangkatan Ratu Elizabeth II pada 8 September 2022.

    Baginda telah berikrar untuk menjalankan tugas perlembagaan ‘sepanjang masa yang dianugerahkan Tuhan’.

    Ahad lalu, Baginda memimpin dalam satu acara bertafakur selama dua minit di Cenotaph, London, sebagai penghormatan kepada rakyat Britain yang terkorban dalam peperangan sejak 1914. – AFP

    Raja Charles III ketika tiba untuk merasmikan hab Projek Makanan Coronation yang terletak di Deptford Trading Estate, tenggara London, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda