Sunday, September 29, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Raja untuk Rakyat dan Rakyat untuk Raja’

    Oleh Sim Y. H.-

    TEMBURONG, 27 JULAI – Hubungan raja dengan rakyat yang saling mendukung telah diketengahkan dalam persembahan khas bersempena keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong, hari ini.

    Raja yang prihatin dan pemedulian, berterusan mengurniakan pelbagai kemudahan dan sokongan untuk rakyat demi pembangunan dan kemajuan negara dan rakyat menjunjung segala kurnia tersebut dengan penuh syukur dan sentiasa siap siaga melaksanakan perancangan pembangunan negara.

    Persembahan kira-kira 15 minit yang membawa tema ‘Raja untuk Rakyat dan Rakyat untuk Raja’ itu membawa konsep Serumpun Berbudaya, Sejalin Berbangsa, Memartabat Raja dan disertai oleh seramai 277 orang peserta dengan persembahan dibahagikan kepada tiga segmen.

    Ia mengetengahkan corak persembahan gerak laku dan tarian yang menggambarkan perpaduan, keharmonian dan keutuhan jalinan mahabbah antara raja dan rakyat jelata.

    Gerak laku dan tarian berkenaan dipersembahkan oleh gabungan pelbagai etnik di Daerah Temburong yang menggambarkan kepelbagaian budaya dan tradisi yang dapat memartabat dan mempertahankan kedaulatan raja dan negara serta perpaduan bangsa.

    Persembahan mengetengahkan lima etnik di Daerah Temburong iaitu Melayu Brunei, Melayu Kedayan, Melayu Murut, Iban dan Cina.

    Segmen 1 iaitu Serumpun Berbudaya mengetengahkan persembahan gerak laku dan tarian yang menggambarkan kemurnian dan kepelbagaian budaya yang menjadi identiti keunikan dan keindahan rumpun masyarakat di Daerah Temburong.

    Segmen 2 iaitu Sejalin Berbangsa mengetengahkan persembahan gerak laku dan tarian yang menjadi warisan budaya di Daerah Temburong yang menjadi sandaran berbangsa dengan mengekalkan falsafah Melayu Islam Beraja sebagai landasan yang menyatupadukan masyarakat pelbagai etnik di Daerah Temburong.

    Manakala itu, segmen 3 iaitu Memartabat Raja merupakan kemuncak persembahan khas yang mengetengahkan gabungan lima puak yang menggambarkan kegembiraan dan keindahan sambutan perayaan ke-77 di Daerah Temburong.

    Antara babak dalam persembahan khas berkenaan. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda