Friday, October 11, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rak buku heksagon hiasi ruang bilik

    Oleh Amri Htz –

    Kehadiran rak buku pada ruang kerja atau sesebuah bilik akan memudahkan dan mempercepatkan lagi langkah mendapatkan koleksi yang diperlukan.

    Malahan, ia dapat mengekalkan keadaan buku dengan sempurna jika ia tersimpan secara teratur.

    Ruangan DIY kali ini akan membimbing awda langkah demi langkah cara-cara untuk mereka buku yang berbentuk heksagon. (Gambar 1)

    Antara barang diperlukan

    • Papan lapis
    • Gam kayu
    • Alat pengapit kayu
    • Skru
    • Mesin pemotong kayu
    • Pita pengukur
    • Orbital sander
    • Pita perekat
    • Pahat kayu
    • Mesin gerudi

    LAKAR SEBELUM REKA

    Sebelum memulakan langkah pembuatan, terlebih dahulu lakar bentuk rekaan sebagai panduan.

    Selain bentuk, ukuran panjang dan lebar serta ketebalan kayu digunakan juga perlu dicatat bagi memudahkan awda mendapatkan barangan yang diperlukan. (Gambar 2)

    Gambar 1. – GAMBAR OLEH MATTHER DAVIDS
    Gambar 2. – GAMBAR OLEH MATTHER DAVIDS
    Gambar 3. – GAMBAR OLEH MATTHER DAVIDS
    Gambar 4. – GAMBAR OLEH MATTHER DAVIDS
    Gambar 5. – GAMBAR OLEH MATTHER DAVIDS
    Gambar 6. – GAMBAR OLEH MATTHER DAVIDS
    Gambar 7. – GAMBAR OLEH MATTHER DAVIDS
    Gambar 8. – GAMBAR OLEH MATTHER DAVIDS
    Gambar 9. – GAMBAR OLEH MATTHER DAVIDS
    Gambar 10. – GAMBAR OLEH MATTHER DAVIDS

    Setelah melakarkannya, langkah seterusnya ialah mendapatkan barang utama diperlukan iaitu papan lapis berukuran ¾ inci.

    Selain ketebalan papan yang digunakan dalam projek ini, awda juga boleh menggunakan papan yang lebih tebal atau nipis namun tidak kurang daripada ½ inci.

    Ini bagi memastikan struktur rekaan kekal kukuh ketika beberapa bahagian cantuman kayu heksagon diletakkan di atasnya nanti. (Gambar 3)

    Apabila ketebalan papan lapis telah dipilih, kini awda perlu memotongkannya menjadi bahagian-bahagian kecil.

    Jika permukaan meja mesin pemotong kayu yang digunakan terlalu kecil, awda perlu memotong papan lapis menggunakan mesin circular saw memandangkan permukaannya yang terhad. Setiap bentuk heksagon memerlukan enam keping papan berukuran 12 inci panjang dan 8 inci lebar. (Gambar 4)

    SUDUT 60 DARJAH BAGI BENTUK HEKSAGON

    Setelah memotongkan papan lapis dengan panjang dan lebar diperlukan, kedua-dua bahagian hujung kayu akan dipotongkan dengan sudut 60 darjah. Langkah ini adalah bagi memudahkan langkah mencantumkan sekali gus menjadikan cantuman lebih bersih dan menarik.

    Tetapkan kedudukan bilah pemotong pada 30 darjah, dan sorong bahan dengan memastikannya pada sebelah kanan bilah pemotong.

    Dengan cara ini awda boleh mendapatkan sudut potongan 60 darjah. (Gambar 5)
    Papan yang telah dipotong kemudian dicantumkan menjadi satu menggunakan gam kayu.

    Pilih gam berkualiti bagi memastikan cantuman kekal kukuh untuk masa yang lama.

    Sapukan kesemua permukaan cantuman secara menyeluruh dalam kuantiti sederhana. (Gambar 6)

    Bagi membantu mengekalkan kedudukan cantuman sebelum alat pengapit kayu ditempatkan, pita perekat boleh dilekatkan pada bahagian luaran rekaan.

    Langkah ini sangat berguna terutama bagi awda yang melakukannya seorang diri tanpa bantuan seseorang untuk memegangnya. (Gambar 7)

    CANTUMAN MENARIK TANPA GUNA PAKU, SKRU

    Setelah keseluruhan bahagian dicantumkan, awda boleh mula mengetatkan alat pengapit kayu bagi setiap sudut dengan memberikan tekanan secara seimbang.

    Mengetatkan alat terlalu kuat pada satu-satu bahagian tanpa keseimbangan akan menyebabkan kedudukan kayu berubah sekali gus menggagalkan cantuman. (Gambar 8)
    Biarkan gam mengering lebih kurang 24 jam bagi setiap cantuman.

    Setelah mengering, bersihkan lelehan gam kayu yang telah mengeras menggunakan pahat kayu secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kayu. (Gambar 9)

    Sebelum mencantumkan setiap bahagian kayu berbentuk heksagon menggunakan skru pada bahagian dalam (bawah), susun rapi kedudukannya sehingga permukaan depannya selaras. Jika terdapat ketidaksempurnaan, awda boleh menggosoknya menggunakan kertas pasir berukuran 80 grit.

    TIP REKAAN

    • Gunakan papan lapis jenis overlaid memandangkan ia mempunyai permukaan yang menarik tanpa perlu mengecatnya.

    • Bagi penggunaan papan lapis biasa, awda boleh menyapukan wood stain dengan warna bersesuaian dengan tema ruang di mana ia ditempatkan.

    • Permukaan potongan yang tidak sempurna boleh ditutup dengan wood filler atau campuran gam kayu dan habuk kayu pada akhir projek.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda