Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Majlis Pembukaan Program Rakan Musaaid Perkhidmatan Awam anjuran Bahagian Perkhidmatan Kaunseling, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah dilancarkan di Dewan Ittisal, Institut Perkhidmatan Awam (IPA) pagi ini.
Program yang disertai oleh seramai 30 orang itu telah dirasmikan oleh Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, JPA, Awang Abdul Ghani bin Haji Othman selaku tetamu kehormat.
Turut hadir pada majlis itu ialah pengarah-pengarah, ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, jemputan khas daripada Persatuan Kaunseling Brunei dan peserta-peserta Program Rakan Musaaid.
Majlis didahului dengan taklimat mengenai Program Rakan Musaaid Perkhidmatan Awam Tahun 2025 yang disampaikan oleh Pegawai Kaunselor Kanan, Bahagian Perkhidmatan Kaunseling, Haji Amir Shukri bin Haji Zawawi.
Haji Amir Shukri menyatakan program yang berlangsung hingga 5 Mei di IPA Rimba Gadong itu melibatkan peserta daripada pencalonan kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya dan merangkumi Bahagian 2 dan 3.
Program itu dipadatkan dengan modul-modul khusus di mana antaranya ialah teknik asas kemahiran kaunseling, pendedahan kepada teknik serta kaedah yang diguna pakai semasa menjalankan sesi kaunseling bersama klien dan kaedah-kaedah kaunseling seperti Adventure Based Counselling (ABC) dan expressive art.
Melalui program itu, para peserta diharap akan dapat mempelajari kaedah-kaedah yang dapat me-ngubah pemikiran, perasaan dan tingkah laku, menerokai, memulih serta mempertingkatkan keyakinan diri warga perkhidmatan awam ke arah yang lebih baik dalam perlaksanaan kerja seharian dengan menggunakan pelbagai kaedah asas kaunseling.
Di samping itu, Program Rakan Musaaid mengandungi modul-modul yang sejajar dengan salah satu strategi di dalam Pelan Tindakan Kesihatan Mental 2022-2025 dari Kementerian Kesihatan iaitu Meningkatkan Keberkesanan Kepimpinan dan Urus Tadbir dalam Kesihatan Mental.
Sebagai nilai tambah, program itu juga akan memberi peluang bagi peserta untuk meningkatkan lagi ciri kepimpinan diri dan dapat dijadikan sebagai contoh teladan kepada warga perkhidmatan awam yang lain.
Selepas mengikuti program itu nanti, para peserta program akan dikenali sebagai ‘Rakan Musaaid’ yang bermaksud ‘rakan yang membantu’.
Sebagai Rakan Musaaid, dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang bakal dipelajari daripada program berkenaan, ia akan dapat memudahkan dalam mengesan dan membantu rakan sekerja dalam meningkatkan produktiviti kerja dan memberikan nilai yang tinggi kepada kualiti perkhidmatan masing-masing di dalam organisasi.
Pada 2025, Program Rakan Musaaid Perkhidmatan Awam dijangka akan dilaksanakan seba-nyak dua kali iaitu pada April dan Oktober.