Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Rakan sekerja selalu ponteng, MC

    Kepada sidang pengarang dan para pembaca ruangan ini, untuk sekadar berkongsi luahan dan kekecewaan sahaja.

    Okey ceritanya begini, aku ada seorang kawan yang boleh dikatakan hubungan kami boleh dianggap biasa-biasa sahaja dan tidaklah terlalu rapat dan mesra.

    Cuma apa yang ingin aku nukilkan di sini adalah tentang perangainya yang tidak pernah berubah dari dulu hingga kini.

    Lainlah halnya jika hubungan aku dan dia rapat, maka dapatlah dan mudah untuk aku menasihatinya.

    Tetapi hakikatnya tidaklah sedemikian, jadi aku pula yang berasa takut dan gugup untuk menasihatinya, ditakuti aku pula kena marah.

    Gambar Freepik

    Hal ini sebetulnya adalah terkait soal perangainya ketika bekerja.

    Dia ni masalahnya selalu saja ponteng kerja, selalu minta cuti sakit (MC) tapi sebenarnya tidak sakit, ada-ada saja alasannya ingin memohon cuti.

    Aku pun tidak tahu macam mana boleh dia sering kali dengan mudah dapat claim MC.
    Kenapa aku yakin mengatakan bahawa dia tidak sakit meskipun sering diberi surat MC di klinik?

    Mana tidaknya, pernah suatu ketika aku terserempak secara tidak sengaja dengannya di sebuah klinik yang sama.

    Sebaik sahaja selesai urusan dan beredar dari klinik itu, tidak lama kemudian kami terserempak semula di mana aku melihat dengan mata kepala aku sendiri, dia sedang berjalan-jalan ibarat ‘makan angin di negara luar’ di kadai berdekatan dengan klinik tadi.

    Jadi, andai kata awda berada di situasi yang aku hadapi itu, adakah awda berpendapat dia sakit atau sihat?

    Kalau ikutkan logik, orang sakit lazimnya tidak mampu untuk senang berjalan-jalan dan bersiar-siar ke sana sini, biasanya dia akan terus masuk kereta dan balik rumah.

    Tetapi berbeza pula halnya dengan situasi kawan aku ni yang kononya ‘sakit’ sempat pula melihat-lihat barang di kedai. Mungkin Allah hendak menampakkan perangai dan kejujurannya selama ini.

    Bukan sekali saja aku terjumpa dirinya di kawasan kedai dekat klinik tu. Dua kali sudah ketemu, tapi pada akhirnya memang dia ambil MC.

    Apabila aku bertanya kepada rakan sekerja di ofis, ternyata benar mereka mengatakan bahawa kawan kami ni telah mengambil MC ketika tu.

    Kami ini bekeraja secara shift sebab itulah tuntutan kerja kami cukup memberi tekanan kalau ada orang cuti kemudian ditambah lagi orang MC mengejut yang dibuat-buat terutama semasa hujung minggu.

    Pada hujung minggu memang ramai orang tetiba sakit. Cuma yang aku harapkan agar dia terbacalah luahan hati ini. Diharap dia sedar akan perbuatannya. Terkadang aku pun terfikir adalah lebih baik kalau pekerjaannya itu diberikan kepada orang yang lebih memerlukan. Janganlah selalu mengamalkan kerja makan gaji buta, nescaya hidup tidak berkat.

    Harap-harap pihak sumber manusia kami menjalankan siasatan kenapa setiap kali tibanya Ahad ramai yang minta cuti sakit.

    Kepala Kusut

    NASIHAT DANG MP

    Dalam situasi sedemikian, di mana seorang rakan bekerja di bawah tuntutan kerja yang ketat dan timbul pula kecurigaan mengenai ketidakjujuran cuti sakit, sudah sememangnya kita untuk berasa risau dan ingin menyuarakan pandangan.

    Namun, pada hemat saya, berikut adalah beberapa nasihat yang mungkin boleh awda pertimbangkan untuk mengurangkan kekusutan di kepala awda:

    1. Buat laporan: Sebagai pekerja yang jujur, awda boleh membuat laporan kepada orang atasan syarikat awda. Namun laporannya perlulah sahih dan bukan untuk menjatuhkan kawan awda tetapi sebagai pengantara untuk menasihatinya dan memberinya kaunseling agar bekerja dengan lebih jujur.

    2. Bercakap kepada sahabatnya: Sekiranya mungkin, ambil inisiatif untuk berbincang secara peribadi dengan rakan rapat kepada kawan awda. Kawan awda sudah tentu mempunyai rakan rapat tempatnya mengadu. Jadi awda boleh suarakan kepada rakan rapatnya agar dia dapat menyampaikannya kepada kawan awda yang selalu mengambil cuti sakit.

    3. Fokus pada perasaan: Tumpukan perbualan awda pada perasaan dan kebimbangan awda berbanding menuduh secara langsung. Awda sepatutnya mengungkapkan bagaimana tingkah laku rakan awda itu boleh mempengaruhi suasana kerja dan tekanan yang mungkin ditanggung oleh rakan sekerja lain agar dia lebih faham.

    4. Berikan sokongan: Tawarkan sokongan kepada rakan awda. Mungkin ada sebab di sebalik kelakuan ini yang awda tidak tahu. Bertanyalah jika ada masalah atau kesulitan yang boleh awda bantu selesaikan.

    5. Menghormati Privasi: Ingat untuk menghormati privasi rakan awda. Jangan menyelidik terlalu mendalam tanpa izin, dan berikan ruang untuk dia berkongsi jika dia berasa selesa.

    6. Fikir sebelum berbicara: Sebelum membuat keputusan untuk menyuarakan kebimbangan awda, pertimbangkan keseluruhan situasi dan akibat daripada tindakan awda. Pastikan ia dilakukan dengan niat yang baik. Perlu diingat bahawa setiap orang mempunyai sebab-sebab tertentu atas tindakan atau tingkah laku mereka dan jangan mudah kita langsung menghakimi atau berburuk sangka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...