Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakyat sejahtera berkat raja penyayang

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Setiap menjelangnya tanggal 15 Julai, pasti akan banyak puji-pujian serta kesyukuran dalam kalangan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam terhadap raja yang dikasihi dan disanjungi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku pemimpin yang begitu banyak mengambil berat akan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

    Bukan itu sahaja, keprihatinan dan kewibawaan Baginda turut disebut-sebut di seluruh rantau dan pelosok dunia yang rata-rata menggambarkan keberuntungan rakyat dan penduduk di negara ini yang dipimpin oleh seorang pemerintah yang adil, saksama lagi berwibawa sekali gus menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang terkenal dengan keamanan dan kemakmurannya.

    Keprihatinan raja terhadap rakyat tercinta
    Pasti sudah sering didengar mengenai bantuan-bantuan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang disalurkan kepada rakyat dan penduduk di negara ini sejak Baginda mula menerajui kepimpinan negara pada tahun 1967 bermula daripada pemberian subsidi, bantuan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, perumahan dan banyak lagi.

    Baru-baru ini, Baginda Sultan turut berkenan berangkat menyempurnakan penganugerahan Penggeranan Tanah-tanah Lesen Tumpang Sementara (LTS) di bawah Skim Penggeranan Tanah LTS bagi Daerah Tutong dan Daerah Belait serta Penyerahan Anak-anak Kunci Rumah Teres di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang bagi Daerah Tutong.

    Pada majlis pagi itu, sejumlah 446 penerima yang terdiri daripada seramai 209 orang menerima penggeranan tanah-tanah LTS di bawah Skim Penggeranan LTS yang mana dari jumlah tersebut sebanyak 125 orang dari Daerah Tutong dan 84 orang dari Daerah Belait.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengadakan lawatan ke rumah penerima geran tanah di bawah Skim Penggeranan Tanah LTS, Kampung Kandang, Mukim Pekan Tutong. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Kebajikan rakyat sentiasa dititikberatkan bermula dari pelancaran SKN yang bertujuan bagi mempertingkatkan kecekapan dalam memeduli kebajikan rakyat dan penduduk di negara ini.

    Sementara bagi penerima di bawah RPN Bukit Beruang, seramai 237 orang penerima rumah jenis teres.

    Pengurniaan ini jelas menggambarkan sifat pemedulian dan keprihatinan Baginda Sultan terhadap kesejahteraan dan keselesaan rakyat dan penduduk negara ini agar dapat memupuk lagi perpaduan masyarakat.

    Ia sekali gus mendukung hasrat dan cita-cita Baginda khususnya dalam memastikan kualiti kehidupan sentiasa terjamin dan merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

    Semasa negara bergelut dengan pengawalan penularan COVID, kebajikan rakyat sentiasa dititikberatkan bermula dari pelancaran Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang bertujuan bagi mempertingkatkan kecekapan dalam memeduli kebajikan rakyat dan penduduk di negara ini.

    Melalui SKN segala bantuan diharap dapat disalurkan kepada mereka yang berhak menerimanya sehinggalah kepada langkah-langkah yang diambil dalam penangguhan sumbangan terhadap Kumpulan Wang Amanah Pekerja dan Pencen Sumbangan Tambahan, penangguhan pembayaran pinjaman, pemberian subsidi gaji untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana, potongan cukai pendapatan korporat, sewa dan utiliti serta lain-lain.

    Selain itu, Baginda juga dilihat sangat prihatin dengan tahap kesihatan bukan sahaja bagi para penduduk dan rakyat Negara Brunei Darussalam malahan di peringkat global secara keseluruhannya.

    Mengutamakan kesihatan mental rakyat
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa berangkat ke Sesi Retreat Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) ke-26, yang berlangsung di Intare Conference Arena, Kigali, Republik Rwanda turut berkenan mengurniakan titah yang menekankan kepentingan penjagaan kesihatan mental serta kesejahteraan rakyat sebagai sebahagian daripada fasa pemulihan pasca COVID. Selain itu, Baginda turut menekankan usaha-usaha ASEAN ke arah penjagaan kesihatan ini.

    Baginda berkenan menzahirkan ucapan tahniah kepada Bangladesh atas inisiatif negara tersebut terhadap kesihatan mental (Roundtable on Mental Health: Rethinking Mental Health: A Commonwealth Call to Empower, Care and Transform).

    Perkara ini jelas menggambarkan keprihatinan Baginda yang tidak putus-putus terhadap kesejahteraan rakyat di peringkat global dan antarabangsa khususnya dari segi kesejahteraan kesihatan.

    Sementara itu, Baginda buat kesekian kalinya menekankan lagi mengenai kesihatan mental ini dan kepentingan merawat gangguan kesihatan mental dalam titah Baginda pada baru-baru ini bersempena Hari Raya Aidiladha tahun 1443H/2022M di Istana Nurul Iman.

    Baginda menegaskan bahawa gangguan mental itu berlaku kerana hati tidak tenang atau takut melampau, sehingga memungkinkan penghidapnya memerlukan beberapa jenis rawatan seperti kaunseling psikoterapi dan pengambilan ubat psikotropik daripada doktor-doktor pakar mental.

      “Ini, baharu satu ikhtiar biasa. Tetapi, kita orang Islam ada ikhtiar khusus yang namanya ikhtiar keagamaan, yang sayugia jangan di lupa atau diabaikan, walaupun kiranya ikhtiar biasa telah atau sedang dilalui, tetapi ikhtiar khusus atau ikhtiar keagamaan ini diyakini lebih efektif untuk merawat gejala mental,” titah Baginda lagi.

    Ini menggambarkan keseriusan Baginda dalam menjaga kesejahteraan rakyat bukan sahaja dari segi kesihatan fizikal tetapi juga terhadap kesihatan mental yang dipandang serius mutakhir ini.

    Sementara itu, dalam bantuan pendidikan, Baginda ternyata raja yang amat mementingkan kemajuan dalam pendidikan rakyatnya.

    Ini terbukti dengan banyaknya bantuan dalam pendidikan termasuk bantuan biasiswa termasuk biasiswa Sultan Scholar’s, bantuan peralatan persekolahan yang saban tahun disalurkan kepada para pelajar kurang berkemampuan.

    Bantuan juga termasuklah bagi menyambung pembelajaran ke peringkat pengajian tinggi, program penyelidikan dan perkembangan serta banyak lagi yang meliputi kemajuan dalam bidang pendidikan.

    Keprihatinan Baginda ini adalah bagi memastikan rakyat sentiasa terjaga dalam semua peringkat, sekali gus mempamerkan sikap penyayang Baginda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda