Tuesday, May 30, 2023
24.2 C
Brunei

    -

    Ramadan bulan perbanyakan amalan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Bulan Ramadan adalah bulan ibadat iaitu bulan melipatgandakan amal ibadat kepada Allah.

    Amat beruntung orang yang merebut ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah manakala amat rugi bagi orang yang mensia-siakannya. Khatib menegaskan perkara tersebut semasa menyampaikan khutbah Jumaat dengan tajuk ‘Amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Ramadan’.

    Katanya, bulan Ramadan merupakan waktu bertaubat untuk mendekatkan diri ke arah kebaikan kerana pada bulan ini, bukan saja diwajibkan untuk berpuasa dan mengawal hawa nafsu, malah dituntut untuk memperbanyakan amalan sunat.

    Khatib seterusnya menjelaskan, antara amalan sunat yang dianjurkan untuk dilakukan di sepanjang bulan Ramadan ialah bersahur, kerana hukum makan sahur adalah sunat yang bukan saja memberikan tenaga untuk berpuasa pada siang hari tetapi ia juga mengan-dungi keberkatan.

    Selain itu, kita dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan bersedekah kerana Rasulullah SAW adalah orang yang paling banyak bersedekah lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan, tidak kira sedekah itu kecil atau besar, banyak atau sedikit, ia tetap digalakkan.

    Bukan itu saja, sembahyang sunat Tarawih juga merupakan salah satu amalan sunat di bulan Ramadan dan sesiapa yang menghidupkan amalan di bulan Ramadan dengan memperbanyakkan sembahyang sunat kerana iman dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

    Bulan Ramadan juga merupakan bulan Al-Quran dan disarankan untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran pada bulan ini seperti bertadarus sama ada di pejabat, rumah atau masjid.

    Khatib seterusnya menambah lagi, menyungkaikan juga salah satu amalan sunat yang dilakukan pada bulan Ramadan, amalan menyungkaikan atau memberi makan orang yang berbuka puasa adalah sangat digalakkan dan mempunyai ganjaran yang sangat istimewa.

    “Bulan Ramadan adalah kesempatan yang terbaik untuk memperbaiki diri dari sudut ibadat dan mendekatkan diri kepada Allah” jelasnya.

    Dalam khutbah Jumaat itu, khatib turut menekan, adalah menjadi kerugian sekiranya di bulan ini, hanya sekadar berpuasa pada siang hari tanpa melakukan amal ibadat yang lain.

    Jadikanlah bulan Ramadan sebagai penggerak yang membawa perubahan besar dalam diri dan mampu mendidik hati dan jiwa untuk sentiasa patuh mengerjakan segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah.

    Mudah-mudahan dengan ibadat puasa yang dikerjakan sepanjang bulan Ramadan diterima dan mendapat ganjaran serta keredaan Allah.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Korea Utara akan lancar satelit pengintip tentera

    SEOUL, 30 MEI - Korea Utara berkata pada hari ini ia akan melancarkan satelit pengintip tentera pertamanya pada Jun dan menyifatkan peninjauan berasaskan angkasa...
    - Advertisment -