Friday, October 4, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rancangan Bacaan Hafazan 30 Juzuk Al-Quran dilancarkan

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Bagi meningkatkan lagi bacaan ayat-ayat Al-Quran melalui rancangan TV agar dapat meraih pahala yang berlipat ganda sempena bulan Ramadan, rancangan TV ‘Bacaan Hafazan 30 Juzuk Al-Quran’ oleh Al-Hafiz Pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) telah dilancarkan hari ini.

    Rancangan yang diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan Nuzul Al-Quran itu dianjurkan oleh ITQSHHB dengan kerjasama Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dan Radio Televisyen Brunei (RTB).

    Majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Persidangan, PDI itu telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Pegawai Pelajaran (Al-Quran dan Al-Qiraat), Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Mohamad Hashim bin Haji Abdullah.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa melancarkan rancangan ‘Bacaan Hafazan 30 Juzuk Al-Quran’, kelmarin.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pelancaran berkenaan.
    Pengiran Haji Amiruddin semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.
    Para pelajar yang menghadiri majlis tersebut.

    Terdahulu, Pengetua ITQSHHB, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, fasa pertama rakaman telah bermula pada 24 Oktober 2022 hingga 15 Mac lalu.

    “Dalam tempoh tersebut, berkat kerjasama dan komitmen semua pihak, inisiatif ini telah berjaya menyiapkan rakaman sebanyak tujuh juzuk Al-Quran, bermula daripada juzuk pertama hingga juzuk ketujuh yang telah melibatkan 54 pelajar bagi fasa pertama ini,” jelasnya.

    Beliau seterusnya menambah, sesi rakaman fasa tersebut dijalankan dua kali seminggu bagi satu juzuk yang melibatkan kalangan siswa Diploma Aliyah Qiraat, pelajar Tahun 8 hingga 11 serta lepasan institut berkenaan.

    “Jumlah huffaz yang terlibat secara keseluruhan untuk 30 juzuk Al-Quran adalah seramai 144 orang pelajar lelaki dan perempuan,” jelasnya.

    Untuk fasa rakaman seterusnya, tambah beliau, akan diteruskan dengan apa jua bentuk penambahbaikan dalam sesi rakaman mengikut kesesuaian, masa pembaca, pentashih, pentasmik dan ketersediaan studio rakaman di RTB.

    Majlis diserikan lagi dengan persembahan bacaan Al-Quran secara hafazan oleh pelajar-pelajar ITQSHHB.

    Manakala itu, Doa Selamat dibacakan oleh Awang Mohamad Hashim.

    Antara objektif pelancaran tersebut ialah untuk memberigakan rancangan TV baharu supaya penonton dapat mengikuti bacaan Al-Quran dengan kaedah bacaan yang betul dan sempurna serta menghayati terjemahannya.

    Rancangan TV berkenaan akan disiarkan di RTB Perdana pukul 6 pagi dan sebelum azan Asar. Manakala itu, di RTB Aneka akan disiarkan pada pukul 10 pagi dan 5:45 petang dan di RTB Sukmaindera disiarkan sebelum azan Zohor dan 6 petang, setiap hari bermula 8 April ini.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda