KUCHING, 26 Feb – Usaha serta perancangan berpandangan jauh Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg untuk mewujudkan Greater Kuching, Kota Samarahan dan Serian mendapat pujian Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (KSMC) Datuk Peter Minos.
“Perancangan seperti ini ditunggu-tunggu dengan penuh gembira kerana apa jua pembangunan, terutama yang ada kaitan dengan ekonomi, akan mewujudkan pekerjaan, perniagaan dan pelbagai bentuk peluang untuk rakyat,” katanya.
Pekerjaan perlu diwujudkan untuk memberi pendapatan, terutama pekerjaan bergaji besar, bagi memenuhi jangkaan yang semakin meningkat untuk menikmati kehidupan lebih berkualiti dan kos sara hidup yang sentiasa meningkat, katanya.
Beliau berkata setelah mengambil alih jawatan lebih sebulan lepas, adalah sesuatu yang amat membanggakan apabila ketua menteri baharu itu memperkenalkan idea dan rancangan besar demi meningkatkan kemajuan Kuching, Kota Samarahan dan Serian, bahagian yang baru diwujudkan.
Ini, kata beliau, adalah politik pembangunan yang dilaksanakan tanpa membuang masa dan tidak diruntun terlalu banyak kerenah birokrasi serta terlalu banyak cakap.