Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Jabatan Daerah Temburong
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Daerah Temburong akan menjadi daerah pertama dan pembuka tirai bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk yang akan diadakan pada 19 Julai di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar.
Sehubungan itu, raptai penuh Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 bagi tahun 2022 telah diadakan hari ini.
Hadir bagi menyaksikan raptai penuh berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-76.
Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), pemangku pegawai Daerah Temburong dan ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-76 Tahun Bagi Daerah Temburong.
Orang ramai yang berhasrat untuk hadir ke Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong dikehendaki untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Kesemua individu yang hadir dikehendaki melakukan ujian pantas antigen (ART) sebelum hadir ke Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan dan memuat naik keputusan ART ke aplikasi BruHealth atau menggambar keputusan ART dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing dengan menulis nama, hari, tarikh dan jam.
Hanya individu yang mendapat keputusan negatif sahaja yang dibenarkan masuk, mereka dimestikan sentiasa memakai pelitup muka, digalakkan mensanitasi tangan, tidak bersalam-salaman serta sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal.
Individu yang mempunyai simptom-simptom seperti demam panas, batuk selesema, masalah pernafasan dan sebagainya dinasihatkan untuk tidak menghadiri majlis.



