Friday, January 17, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan bantah perintah berkurung

    MNILHA, TUNISIE, 1 APRIL – Ratusan penduduk Tunisia mengadakan tunjuk perasaan di daerah kelas bekerja ibu ne-gara semalam, menuntut sokongan kerajaan dan membantah perintah berkurung selama seminggu berhubung koronavirus yang menjejas penduduk miskin.

    “Jangan hirau koronavirus, kami akan mati walau bagaimanapun! Biar kami bekerja!” jerit seorang pembantah.

    “Biar saya sekurang-kurangnya bawa makanan untuk anak saya,” beritahu penurap bata kepada AFP.

    Di kawasan miskin seperti Mnilha dan Ettadhamen di pinggir bandar ibu negara Tunisia, pusat penjagaan kesihatan adalah terhad dan kebanyakan orang yang bekerja sebagai buruh tidak mempunyai pendapatan disebabkan langkah kawalan koronavirus.

    “Saya belum bekerja dalam 15 hari,” kata seorang wanita bernama Sabiha.

    Pada Isnin, penduduk marah berarak ke pejabat kerajaan tempatan untuk menuntut bayaran kebajikan dan permit untuk meninggalkan rumah mereka. Ada di antara mereka menyekat jalan raya dan membakar tayar.

    Perdana Menteri Elyes Fakhfakh mengumumkan pada 21 Mac pakej bantuan ekonomi berjumlah 150 juta dinar untuk mereka yang paling teruk terjejas oleh perintah berkurung tetapi tidak berkata bila ia akan diagihkan.

    Kemudian pada Isnin, kementerian hal ehwal sosial mengumumkan bayaran akan diagihkan dari 21 Mac hingga 6 April, mendorong orang ramai bergegas ke pejabat kerajaan tempatan untuk mendaftar.

    Polis telah menahan 1,119 orang kerana melanggar perintah berkurung yang dikenakan sejak 17 Mac dan 242 orang kerana melanggar ‘lockdown’ yang dikenakan sejak 22 Mac, kata jurucakap kementerian dalam negeri Khaled Ayouni.

    Tunisia melaporkan 312 kes COVID-19 sejak 2 Mac, termasuk 10 kematian.

    Dijadual pada asalnya untuk berakhir pada 4 April, perintah berkurung dijangka dilanjutkan. – AFP

    Penduduk miskin Tunisia berkumpul dengan menunjukkan kad pengenalan mereka di depan ibu pejabat Mnilha di Tunis untuk membantah perintah berkurung dan menuntut bantuan kewangan yang dijanjikan oleh kerajaan. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda