KABUL, 2 OKT – Ratusan wanita Hazara, komuniti minoriti Afghanistan, melancarkan protes di Kabul hari ini selepas pengebom bunuh diri semalam meragut sekurang-kurangnya 35 nyawa, kebanyakannya wanita muda etnik itu.
Lebih 100 wanita melaungkan ‘Hentikan genosid Hazara, menjadi Syiah bukan jenayah’ ketika berarak melepasi sebuah hospital di Dasht-e-Barchi, yang merawat beberapa mangsa serangan berkenaan. Berpakaian hijab hitam dan tudung, penunjuk perasaan yang berang turut membawa sepanduk tertera ayat ‘Hentikan pembunuhan Hazara’, lapor wartawan AFP.
Menurut beberapa saksi, pengebom itu meletupkan diri di bahagian wanita dalam dewan yang memisahkan lelaki dan perempuan.
Penunjuk perasaan kemudian berkumpul di hadapan hospital sambil melaungkan pelbagai slogan, ketika puluhan anggota Taliban lengkap bersenjata memerhati, dengan ada yang membawa pelancar bom.
Dalam tragedi semalam, seorang pengebom meletupkan diri di dewan pengajian Kabul, ketika ratusan pelajar sedang menjalani ujian sebagai persediaan peperiksaan kemasukan ke universiti di kawasan Dasht-e-Barchi di bandar itu. – AFP
