Ratusan warga Indonesia sertai solat Aidilfitri

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan KBRI di Bandar Seri Begawan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Ratusan warga Indonesia memenuhi halaman Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Bandar Seri Begawan bagi menunaikan solat Sunat Aidilfitri 1443H seawal 7 pagi kelmarin. 

Seperti tahun lepas, acara pada kali ini juga dijalankan mengikut protokol kesihatan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Brunei, antaranya pemeriksaan suhu badan, memakai pelitup muka dan setiap jemaah membawa sejadah sendiri. 

Namun terdapat perbezaan tahun ini, sesuai dengan arahan daripada Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam, di mana kanak-kanak di bawah 11 tahun tidak dibenarkan untuk mengikuti solat berkenaan.

Di samping itu, disebabkan pengehadan jumlah jemaah maka hanya masyarakat yang sudah mendaftar lebih dulu dan dapat menunjukkan hasil ujian pantas antigen (ART) yang negatif, dapat memasuki kompleks KBRI Bandar Seri Begawan.

Kegiatan dimulai dengan takbir bersama sebelum diteruskan dengan penyampaian hasil infak dan sedekah yang dikumpulkan sepanjang Ramadan tahun ini.

Duta Besar Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko membuat ucapan ringkas termasuk mengenai perkembangan terkini dan pelbagai kegiatan KBRI, khususnya yang berkaitan dengan perlindungan warga negara Indonesia (WNI) atau pekerja migran Indonesia (PMI) di Brunei. 

Secara khusus, Tuan Yang Terutama mengajak seluruh warga Indonesia untuk terus menerapkan pola hidup sihat dan tetap menjaga kebersihan. 

“Kita masih hidup dalam suasana Fasa Awal Endemik COVID di Brunei. Wabak virus korona belum sepenuhnya berakhir, untuk itu, kita harus tetap berhati-hati,” nasihat Tuan Yang Terutama.

TYT Dr Sujatmiko semasa membuat ucapan ringkas pada acara tersebut.
Antara yang menyertai solat Sunat Aidilfitri di perkarangan KBRI Bandar Seri Begawan.