Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan bekas pasangan kehakiman terhadap hukuman dan sabitan yang dikenakan ke atas mereka serta permohonan pendakwa raya untuk mengubah keputusan pembebasan ke atas beberapa pertuduhan.
Pada waktu yang sama, Mahkamah Rayuan meluluskan rayuan pendakwa raya untuk menyemak semula hukuman yang menyebabkan penambahan tahun dipenjarakan.
Hukuman 10 tahun penjara ke atas Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kolonel (B) Haji Abdul Rahman kini diubah kepada 15 tahun penjara manakala hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atas Haji Nabil Daraina bin Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin kini menjadi hukuman penjara selama tujuh tahun enam bulan.
Presiden Mahkamah Rayuan Michael Peter Burrel yang bersidang bersama Hakim Conrad Seagroatt dan Hakim Michael Victor Lunn mengesahkan hukuman tersebut hari ini setelah mempertimbangkan permohonan kedua-dua belah pihak.
Keputusan penghakiman 40 halaman itu menyatakan pertimbangan penuh mahkamah rayuan, diringkaskan dengan menyatakan Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ramzidah terhadap sabitan atas kesalahan jenayah pecah amanah dan penggubahan wang haram.
Rayuan Haji Nabil Daraina terhadap sabitan atas kesalahan penggubahan wang haram dan rayuan agar hukumannya dikurangkan juga ditolak.
Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan yang dibuat oleh pendakwa raya untuk mengubah keputusan membebaskan Haji Nabil Daraina daripada dua pertuduhan penggubahan wang haram.
Sementara itu, Mahkamah Rayuan mengizinkan rayuan pendakwa raya agar hukuman tersebut dapat ditingkatkan ‘setelah menilai hukuman yang dijatuhkan oleh hakim yang jelas tidak memadai dan memerlukan pertambahan yang signifikan’.
“Apabila mengambil keputusan ini, kami telah mempertimbangkan faktor-faktor yang memburukkan dalam kesalahan tersebut itu,” kata Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Rayuan menekankan faktor-faktor memburukkan dalam kesalahan-kesalahan itu iaitu ‘mangsa jenayah itu adalah penghutang yang berusaha melepaskan diri daripada perintah muflis, dan pemiutang memerlukan pembiayaan daripada mahkamah untuk menjalankan perniagaan mereka’.
Kedua-dua pihak berkenaan telah menaruh kepercayaan kepada sistem mahkamah yang disalahgunakan oleh para perayu dengan penipuan yang melibatkan $15.75 juta selama bertahun-tahun.
Juga dibangkitkan ialah ‘para perayu memegang jawatan tinggi dalam Badan Kehakiman Brunei dan dengan demikian dan sesuai dengan sumpah kehakiman mereka dianggap jujur dan terhormat; kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Brunei dalam sistem kehakimannya telah dipersoalkan; perayu didorong oleh keserakahan selain tidak menunjukkan penyesalan’.
Pendakwa raya diwakili oleh Dato Seri Setia Davinder Singh SC yang tampil melalui pautan video dari Singapura dan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Suriana Haji Radin, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Abdul Latiff dan Awang Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman yang hadir secara langsung.
Pihak pendakwaan juga dibantu oleh peguam dari Davinder Singh Chambers LLC, Navin Thevar, David Fong, Tan Ruo Yu dan Srruthi Ilankathir.
Kedua-dua perayu diwakili oleh Peguam Simon Farrell QC yang tampil melalui pautan video, dibantu oleh Peguam Syeikh Noordin bin Sheikh Mohammad secara langsung.