Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Rayuan lelaki acu katana ditolak

    Oleh Fadley Faisal –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Mahkamah Tinggi pada Isnin lalu memerintahkan Hamzah bin Pehin Orang Kaya Kesuma Dato Paduka Haji Ali segera menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas menolak rayuannya.

    Hamzah didapati bersalah oleh Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman dan menjatuhkan hukuman itu.

    Kes Pendakwa Raya Ahmad Firdaus Mohammad terhadap Hamzah, yang didapati mahkamah telah membuktikan melampaui keraguan munasabah, menimbulkan kekacauan hingga mengganggu ketenteraman awam, memiliki katana di tempat awam dengan niat menggunakannya untuk menyerang dan mempamerkan tingkah laku mengancam dengan memukul seseorang dengan sebatang besi serta mengacukan katana yang mengganggu ketenteraman awam.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

    Sebelum ini Pesuruhjaya Kehakiman Muhammed Faisal bin PDJLDR DSP Haji Kefli mendengar rayuan, di mana Hamzah yang diwakili Peguam Leftenan Kolonel (B) Harif Ibrahim, mencabar keputusan Mahkamah Majistret yang mensabitkan Hamzah dan hukuman dijatuhkan atas alasan teknikal.

    Gambar Freepik

    Mahkamah Tinggi mendapati majistret telah membuat kesimpulan dengan betul semasa perbicaraan dan sebaliknya menyatakan bahawa hukuman itu agak ringan.

    “Masyarakat mengecam kelakuan ganas seperti ini,” kata Pesuruhjaya Kehakiman Muhammed Faisal sambil mengarahkan perayu segera menjalani hukumannya.

    Mahkamah tidak mempercayai pembelaan Hamzah yang mengatakan bahawa dia telah bertindak untuk mempertahankan diri dan mendapati bahawa dia adalah penyerang utama. Hamzah telah bersenjatakan katana dan batang besi ketika dia pergi ke sebuah rumah di Kampung Setia A pada pukul 3 pagi, pada 21 Mac 2021.

    Mangsa bernama Bunut, sedang menghadiri persembahan band secara langsung di sebuah rumah dan berdiri di tepi jalan bersama rakan-rakannya apabila defendan menghampirinya, diikuti rakan-rakan defendan.

    Defendan mengayunkan batang besi dan memukul kepala Bunut. Defendan mengacu dan mengayun katana ke arah Bunut.

    Tidak lama kemudian, anak lelaki defendan yang merupakan antara rakannya menjerit ke arah Bunut, menyebabkan dia berlari ke tengah jalan dan terjatuh.

    Defendan menghampiri Bunut yang sedang dibantu oleh rakan-rakannya dan kemudian Bunut pergi ke keretanya. Apabila salah seorang rakan Bunut, mangsa kedua, melangkah ke hadapan, defendan menghentakkan kepala, yang mendorongnya untuk berkata, “Jaga kau Hamzah.”

    Mangsa kedua kemudian pergi ke arah Bunut dan kedua-duanya melarikan diri dari tempat kejadian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...