Wednesday, May 8, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    RB teruja sambut penumpang ‘tambahan’

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Seorang penumpang telah selamat melahirkan anak damit dalam pesawat Penerbangan Diraja Brunei (RB) B1008 yang dalam perjalanan dari
    Dubai menuju Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh RB, di sini hari ini, anak damit lelaki itu dilahirkan tujuh minggu lebih awal daripada dijadualkan pada pukul 12 tengah malam.

    Dr Mulfi Ibrahim Alkhinjar, seorang penumpang pesawat itu, secara sukarela telah membantu proses melahirkan dan turut dibantu oleh pegawai kabin, Romzi Haji Mohammad Yusof dan kru kabin, Dayang Siti Nurhafizzah binti Metassan.

    “Apabila anak damit tersebut sudah dilahirkan, saya baru menyedari bahawa anak damit itu dilahirkan di ruang udara. Apabila saya mendukungnya, saya merasa sangat berbangga dan berbesar hati kerana telah membantu anak damit itu keluar dengan selamat,” kata Dr Mulfi Ibrahim Alkhinjar.

    Selain itu, Dr Mulfi turut memuji kru penerbangan yang dilihatnya sangat membantu.

    “Ahli kru, Romzi sangat teratur dan sedia membantu dan kakitangan penerbangan dilihat sangat terlatih untuk mengendali situasi seperti ini. Mereka bertindak dan memberi respons mengikut arahan yang sepatutnya, proses kelahiran berjalan dengan lancar kerana bantuan tersebut,” tambahnya.

    Sementara itu, Romzi mengongsikan bahawa pada mulanya mereka menyangka penumpang tersebut hanya mengalami sakit perut biasa, namun setelah penumpang itu menunjukkan sijil kesihatannya, dia ketika itu berada dalam minggu ke-33 kehamilan, lalu mereka menyedari bahawa penumpang itu bakal melahirkan anak.

    “Ini merupakan kali kedua saya memberikan bantuan dalam proses kelahiran anak damit di atas kapal terbang,” jelasnya.

    “Kru kabin kami sangat terlatih untuk mengendali pelbagai situasi yang mungkin berlaku semasa berada di atas kapal, dan saya sangat berbangga dengan sikap profesional yang ditunjukkan oleh kru dalam mengendali pengalaman unik seperti ini. Kami juga berasa berbesar hati kepada Dr Mulfi Ibrahim Alkhinjar kerana berkongsi kepakaran beliau untuk membantu proses melahirkan,” kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid.

    Kru kabin RB bergambar bersama penumpang yang melahirkan anak damit semasa penerbangan dari Dubai menuju Bandar Seri Begawan, kelmarin.- Gambar serahan RB

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan catat suhu paling panas pada April

    SEOUL, 7 MEI - Korea Selatan mengalami April terpanas sejak rekod komprehensif bermula pada 1973, kata agensi cuaca hari ini, dengan purata suhu harian...