Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Realisasikan pelaksanaan, pengurusan wakaf komprehensif

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Amalan wakaf merupakan sesuatu yang mendatangkan manfaat besar kepada masyarakat terutamanya umat Islam sepanjang sejarahnya di mana-mana sahaja mereka berada.

    Sehubungan itu, Majlis Persidangan Waqaf Antarabangsa mengungkapkan pernyataan untuk merealisasikan pelaksanaan dan pengurusan wakaf lebih komprehensif serta mengisyaratkan bahawa umat Islam perlu memahami dengan baik potensi wakaf yang tersedia ada dalam sistem harta dan kewangan Islam.

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menekankan perkara itu dalam ucapan perasmian Majlis Persidangan Waqaf Antarabangsa sempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2022 (Brunei MYCE 2022) anjuran Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan di Pusat Per-sidangan Antarabangsa Berakas hari ini.

    Persidangan bertemakan Ke Arah Merealisasikan Pelaksanaan dan Pengurusan Wakaf Secara Komprehensif itu dikelolakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

    Menurut Yang Berhormat Pehin, amalan berwakaf terus menerus diamalkan oleh masyarakat kita dengan pegangan akidah keimanan melalui wakaf perseorangan atau keluarga dalam berbagai-bagai bentuk harta dan kewangan atau barangan.

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa berinteraksi dengan peserta pameran Brunei MYCE 2022 di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, kelmarin.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Persidangan Waqaf Antarabangsa sempena Brunei MYCE 2022 di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas kelmarin.

    “Wakaf walaupun terjumlah dalam makna Al-infaq iaitu membelanjakan atau mengeluarkan sebahagian harta seperti halnya zakat tetapi hukum wakaf adalah sunat, bukan wajib seperti zakat.

    “Manakala zakat wajib dibayar dan dikutip pada waktu-waktu tertentu menurut haulnya dan pada kadar tertentu menurut jumlahnya serta menurut jenis-jenisnya yang mana hasilnya diagihkan kepada lapan asnaf seperti yang ditentukan oleh Allah dalam Al-Quran,” tambahnya.

    Yang Berhormat Pehin turut menekankan bahawa wakaf tiada asnafnya tetapi ia diserahkan oleh pewakaf kepada pengendali dan pengurusnya untuk tujuan-tujuan yang mendatangkan faedah kepada masyarakat secara meluas.

    Suatu yang jelas dan perlu diingat, zakat dan wakaf itu meski pun melibatkan transaksi harta dan kewangan tetapi ia adalah transaksi sosial, bukan komersial, ujarnya.

    Beliau seterusnya menambah, pelaksanaan wakaf sejauh ini yang perlu diingat dan dihargai telah turut menyumbang kepada negara khasnya mengurangkan belanjawan kerajaan.

    Dengan adanya sumbangan wakaf ini, ia dengan sendirinya tidak memerlukan peruntukan kewangan kerajaan, namun bagi mengembang dan memajukan potensi wakaf ini, ia tidaklah bererti kerajaan melepaskan tanggungjawab kewangan untuk memelihara dan memajukan Islam serta memenuhi kepentingan masyarakat Islam, kerana itu bukanlah cara dan sistem Brunei bernegara dan berpemerintahan.

    Menurutnya, memang diakui semuanya melihat dan mendapati keperluan untuk mengembang majukan potensi wakaf, khasnya dalam marhalah atau tahap masyarakat kita yang sudah dilihat bersedia untuk menerima dan menyokong inisiatif sebagaimana yang diungkapkan dalam persidangan berkenaan untuk Merealisasikan Perlaksanaan dan Pengurusan Wakaf Secara Komprehensif.

    “Ungkapan ini selaras dengan projek utama Rancangan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama tahun 2020–2024,” jelasnya.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menyeru ke arah proses itu, kita hendaklah berpegang kepada prinsip, apa pun pilihan dan model dari percambahan pendapat untuk mengembang majukan potensi wakaf di negara ini, ia mestilah berpaksikan wawasan keagamaan pemerintahan beraja negara dengan kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda