Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Rekod Harimau Malaya di Taipei esok ‘menggerunkan’

    KUALA LUMPUR, 19 NOV – Malaysia berada di landasan tepat untuk mencatat kemenangan kedua berturut-turut ketika bertemu pasukan di ranking lebih rendah, Taiwan pada perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Taipei, Selasa ini.

    Ia susulan kemenangan dramatik dilakar skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon selepas menumbangkan pasukan di ranking dunia jauh lebih tinggi iaitu Kyrgyzstan 4-3 pada aksi sulung kumpulan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis lepas.

    Kejayaan menewaskan pasukan ke-97 dunia yang diberi julukan The White Falcons itu memberi motivasi yang amat diperlukan Malaysia (ke-137) bagi mengharungi cabaran membawa pulang tiga mata penting berdepan Taiwan yang menghuni posisi ke-152.

    Di atas kertas, Malaysia menjadi pilihan memenangi perlawanan di Stadium Perbandaran Taipei itu, namun sehingga wisel penamat dibunyikan, nasib menimpa Kyrgyzstan yang tewas kepada skuad Harimau Malaya meskipun berada di ranking lebih baik boleh terjadi kepada anak buah Pan Gon.

    Berdasarkan rekod pertemuan dalam lima aksi terakhir sejak 2000, Taiwan kebal di gelanggang sendiri apabila memenangi tiga perlawanan termasuk pertembungan terakhir pada 2018 sementara tewas dua kali ketika berkunjung Malaysia

    Malah, skuad Blue Wings itu belum kalah dalam tiga aksi di laman sendiri tahun ini apabila mengikat dua pasukan di ranking lebih tinggi masing-masing Thailand 2-2 dan Filipina (1-1) pada aksi persahabatan, selain merakam satu kemenangan ke atas Timor-Leste 4-0 pada aksi playoff kelayakan Piala Dunia.

    Taiwan yang dibimbing Gary White hanya tewas dua kali tahun ini selepas tumpas di tangan Singapura 1-3 pada aksi persahabatan dan Oman (0-3) pada aksi sulung Kumpulan D pusingan kelayakan Khamis lepas, kedua-dua aksi itu berlangsung di gelanggang lawan. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...