Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Remaja rakam ‘saat akhir’ bawah runtuhan

    ADIYAMAN, TURKIYE – Seorang pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun telah menawan hati orang Turkiye selepas dia merakamkan ucapan selamat tinggal kepada orang tersayang ketika terperangkap di bawah runtuhan rumahnya semasa gempa bumi minggu lalu.

    Taha Erdem dan keluarganya sedang tidur lena apabila gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda kampung halaman mereka di Adıyaman pada awal pagi 6 Februari lalu.

    Taha dikejutkan secara tiba-tiba oleh gegaran yang menggoncangkan bangunan pangsapuri empat tingkat di kawasan kejiranan di tengah bandar Anatolia.

    Dalam masa 10 saat, Taha, ibu, bapa dan adik lelaki serta adik perempuannya menjunam ke bawah bersama bangunan itu.

    Dia mendapati dirinya sendirian terperangkap di bawah runtuhan, dengan gelombang gempa susulan yang kuat mengalihkan serpihan, menghimpit ruangnya di tengah-tengah konkrit dan keluli terpintal. Taha mengeluarkan telefon bimbitnya dan mula merakam ucapan selamat tinggal terakhir, berharap ia akan ditemui selepas kematiannya.

    Taha Erdem (kanan) ibunya Zeliha Erdem (kiri) dan bapanya Ali Erdem berdiri di sebelah serpihan bangunan di mana Tahan terperangkap selepas gempa bumi di Adyaman, Turkiye. – AP
    Taha Erdem, Zeliha Erdemdan dan Ali Erdem bergambar di sebelah bangunan yang musnah di Adıyaman, Turkiye. – AP
    Seorang wanita tua berdiri di sebelah rumah hijau di mana dia berteduh bersama saudara maranya selepas gempa bumi di Samandag, selatan Turkiye. – AP

    Orang ramai yang kehilangan tempat tinggal, beratur untuk menerima bekalan bantuan di kem sementara, di bandar Iskenderun, selatan Turkiye. – AP

    “Saya rasa ini adalah video terakhir yang akan saya rakam untuk awda,” katanya dari ruang sempit, telefonnya bergegar di tangannya apabila gegaran menggegarkan bangunan yang runtuh itu.

    Menunjukkan ketabahan dan keberanian yang luar biasa untuk seorang remaja yang percaya dia mengucapkan kata-kata terakhirnya, dia menyenaraikan kecederaannya dan bercakap mengenai penyesalannya dan perkara yang dia harap dapat dia lakukan jika dia dapat diselamatkan. Semasa video itu, jeritan orang lain yang terperangkap boleh didengari.

    “Kami masih gementar. Kematian, kawan-kawanku, datang pada masa yang tidak disangka-sangka,” kata Taha, sebelum membaca doa dalam Bahasa Arab.

    “Banyak perkara yang saya kesalkan. Semoga Allah mengampuni segala dosaku. Jika saya keluar dari sini hidup-hidup, banyak perkara yang saya ingin lakukan. Kami masih gementar, ya. Tangan saya tidak menggigil, cuma gempa bumi.”

    Remaja itu terus menceritakan bahawa dia percaya keluarganya telah mati, bersama-sama dengan ramai orang lain di bandar itu, dan dia akan menyertai mereka tidak lama lagi.

    Tetapi Taha ditakdirkan untuk menjadi antara yang pertama diselamatkan dari bangunan yang runtuh. Dia ditarik dari runtuhan dua jam kemudian oleh jiran dan dibawa ke rumah seorang ibu saudara.

    Sepuluh jam selepas gempa itu, ibu bapa dan adik-beradiknya turut diselamatkan oleh penduduk tempatan yang menggali runtuhan bangunan itu.

    Apabila The Associated Press bercakap kepada keluarganya baru-baru ini, mereka tinggal di khemah yang disediakan kerajaan, bersama-sama dengan ratusan ribu yang lain yang terselamat dalam bencana yang melanda selatan Turkiye dan utara Syria, membunuh lebih 43,000 orang.

    “Ini rumah saya,” kata ibu Taha, Zeliha, 37, ketika dia melihat jengkaut menggali serpihan bangunan dan membuangnya ke dalam trak.

    “Boom-boom-boom, bangunan itu runtuh dari lantai di atas kami,” dia mengingati, menggambarkan bagaimana dia terus menjerit nama anaknya semasa terperangkap di bawah serpihan dengan harapan mereka berlima boleh mati bersama sebagai keluarga.

    Anak-anak kecil Erdem, anak perempuan Semanur, 13, dan anak lelaki Yigit Cinar yang berusia 9 tahun sedang tidur di bilik ibu bapa mereka ketika gempa melanda.

    Tetapi Taha tidak dapat mendengar panggilan ibunya melalui jisim konkrit. Dia juga tidak dapat mendengar tangisan anaknya dalam gelap, dan kedua-duanya percaya yang lain terbaring mati di dalam bangunan yang musnah.

    Hanya apabila Zeliha, suaminya Ali, 47, seorang tukang cuci hospital, dan kanak-kanak lain dibawa ke rumah kakaknya baharulah mereka menyedari Taha terselamat.

    “Dunia adalah milik saya pada masa itu,” kata Zeliha. “Saya tidak mempunyai apa-apa, tetapi saya mempunyai anak-anak saya.” Kisah keluarga Erdem adalah salah satu daripada banyak kisah emosi tentang ketabahan manusia yang muncul dari kawasan bencana yang meluas. Ramai yang menceritakan dengan jelas kengerian terperangkap di bawah runtuhan.

    Ibrahim Zakaria, seorang warga Syria berusia 23 tahun yang diselamatkan di bandar pantai Syria, Jableh pada 10 Februari, memberitahu AP bahawa dia terselamat dengan menjilat air yang menitis di dinding di sebelahnya, tergelincir masuk dan keluar dari kesedaran dan kehilangan harapan untuk terus hidup di saat-saat terjaga.

    “Saya hampir menyerah diri kerana saya fikir saya akan mati,” katanya dari katil hospitalnya. “Saya fikir: ‘Tidak ada pelarian.'” Di bandar Gaziantep di Turkiye, Adnan Muhammed Korkut, 17 tahun, terperangkap selama empat hari sebelum dia diselamatkan.

    Dia memberitahu agensi berita swasta IHA bahawa dia sangat dahaga sehingga dia minum air kencingnya sendiri.

    Muhammet Enes Yeninar, 17, dan abangnya yang berusia 21 tahun berjaya diselamatkan selepas 198 jam di Kahramanmaras berhampiran.

    Dia berkata mereka menangis selama dua hari pertama, kebanyakannya tertanya-tanya tentang ibu mereka sama ada dia terselamat, lapor IHA. Turut berada di Kahramanmaras, Aleyna Olmez, 17, ditarik keluar selepas 248 jam di bawah runtuhan. “Saya cuba meluangkan masa sendiri,” katanya.

    Kisah kelangsungan hidup yang luar biasa sering muncul semasa bencana, terutamanya selepas gempa bumi, apabila media dunia merekodkan harapan yang semakin pudar untuk memulihkan mangsa yang terselamat apabila setiap jam berlalu.

    Berikutan gempa bumi Haiti 2010, seorang gadis berusia 16 tahun telah diselamatkan di Port-Au-Prince 15 hari selepas gempa bumi memusnahkan bandar itu. Tiga tahun kemudian, seorang wanita yang terperangkap di bawah bangunan runtuh di Dhaka, Bangladesh, telah diselamatkan selepas 17 hari. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...