Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JAN – Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam, malam tadi telah mengadakan majlis resepsi sempena Hari Republik India ke-74 yang berlangsung di Royal Berkshire, Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Republik India dan Negara Brunei Darussalam disusuli dengan ucapan daripada Pesuruhjaya Tinggi Republik India, Tuan Yang Terutama Alok Amitabh Dimri.
Dalam ucapannya itu, Tuan Yang Terutama menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana menyokong masyarakat mereka.
India dan Brunei telah menikmati hubungan mesra sejak penubuhan hubungan diplomatik pada 1984. Selama bertahun-tahun, ia telah berkembang kepada penglibatan pelbagai aspek yang bercirikan muhibah, saling hormat-menghormati, memahami dan meningkatkan kerjasama di serantau dan pelbagai hala.
Tahun ini, kedua-dua buah negara akan menandakan ulang tahun ke-39 penubuhan hubungan diplomatik.
Majlis seterusnya menyaksikan upacara memotong kek oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Kemudian majlis diteruskan dengan penyampaian cenderamata oleh Tuan Yang Terutama kepada Yang Berhormat Dato.
resepsi sempena Hari Republik India ke-74.