Thursday, February 27, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Retreat ADMM bersidang di Malaysia

    PULAU PINANG, 26 FEB – Retreat Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) telah berlangsung di Shangri-La Rasa Sayang Resort & Spa, Pulau Pinang, Malaysia, hari ini.

    Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam, mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin dalam kapasiti beliau selaku Pengerusi ADMM bagi tahun 2025.

    Retreat tahun ini dihadiri oleh menteri-menteri pertahanan ASEAN dan para wakil, Menteri Pertahanan Republik Demokratik Timor-Leste selaku Pemerhati ADMM, dan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN untuk bertukar-tukar pandangan dalam mengukuhkan kesatuan ASEAN dan kerjasama di rantau ini.

    Delegasi Brunei diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Turut serta dalam rombongan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin selaku ketua Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pertahanan ASEAN (ADSOM) Negara Brunei Darussalam dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan.

    Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua pada Retreat ADMM yang berlangsung di Pulau Pinang, Malaysia. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN

    Juga menghadiri mesyuarat tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, TYT Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin.

    Dengan tema Perpaduan ASEAN Untuk Keselamatan dan Kemakmuran, Retreat ADMM telah sepakat menerima Kenyataan Bersama oleh Menteri-menteri Pertahanan ASEAN berhubung Kerjasama Bidang Kecerdasan Buatan (AI) dalam Sektor Pertahanan.

    Di samping sidang retreat tersebut, satu perbincangan pertahanan dua hala juga diadakan di antara Brunei dan Malaysia.

    Malaysia akan mempengerusikan Mesyuarat ADMM ke-19 dan ADMM-Plus ke-12 yang dijadualkan akan diadakan di Kuala Lumpur pada 17 hingga 21 November depan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda