Thursday, January 9, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Revolusi teknologi dron autonomi

    BUDAPEST – Dalam formasi menyerupai awan padat, seakan-akan orang ramai melintasi dataran sesak, 100 dron bergerak di langit malam ibu negara Hungary.

    Ia adalah hasil penyelidikan dan eksperimen selama lebih sedekad, yang menurut saintis boleh merevolusikan masa depan penerbangan tanpa pemandu.

    Pergerakan kumpulan dron itu, yang terdiri daripada dron autonomi yang membuat keputusan masa nyata mengenai pengelakan perlanggaran dan perancangan trajektori tanpa pemprograman awal atau kawalan berpusat, hasil kajian saintis Hungary terhadap pergerakan kolektif makhluk semula jadi.

    “Jarang sekali kita melihat teknologi yang boleh dikatakan indah. Secara teorinya, ia menyerupai alam semula jadi.

    “Oleh itu, dron itu sendiri tidak perlu kelihatan cantik, tetapi apa yang ia lakukan amat menakjubkan kerana ia menyerupai tingkah laku kawanan semula jadi,” kata Boldizsar Balazs, salah seorang penyelidik yang terlibat dalam projek tersebut.

    Dalam foto edaran ini, seorang ahli fizik dan penyelidik di Jabatan Fizik Biologi Universiti Eotvos Lorand, Gabor Vasarhelyi, menggunakan komputernya untuk menetapkan kawanan 100 dron quadcopter terbang secara autonomi semasa satu eksperimen berhampiran Budapest, Hungary. – AP
    Kawanan dron autonomi menghiasi langit malam semasa eksperimen berhampiran Budapest, Hungary. – AP
    Foto edaran, yang diambil menggunakan pendedahan panjang, menunjukkan seorang penyelidik dari Universiti Eotvos Lorand sedang memerhati kawanan dron autonomi yang berterbangan semasa satu eksperimen berhampiran Budapest, Hungary. – AP
    Kawanan dron autonomi menghiasi langit malam semasa eksperimen berhampiran Budapest, Hungary. – AP

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dron telah menjadi pemandangan biasa di langit: Syarikat seperti Amazon dan FedEx menggunakan dron untuk perkhidmatan penghantaran, manakala kumpulan besar dron digunakan untuk menghasilkan pertunjukan cahaya berskala besar.

    Namun, saintis di Universiti Eotvos Lorand, Budapest, telah membangunkan model baharu berdasarkan tingkah laku haiwan yang membolehkan sejumlah besar dron bergerak secara bebas, bertindak balas masa nyata terhadap persekitaran dan sesama mereka sambil menyelaraskan laluan dan tugas secara berkesan.

    “Inilah tahap desentralisasi sebenar… Selepas dron diberi arahan, kami boleh mematikan stesen kawalan. Dron akan melaksanakan tugasnya hanya dengan berkomunikasi sesama sendiri,” kata Gabor Vasarhelyi, penyelidik kanan di Jabatan Fizik Biologi universiti itu.

    Dengan menggunakan data hasil pemerhatian tingkah laku burung merpati, pergerakan kuda liar di Dataran Besar Hungary, dan pola haiwan lain, para penyelidik membangunkan algoritma yang membolehkan dron membuat keputusan autonomi, mengelakkan perlanggaran dengan selamat, dan mengurus konflik.

    Walaupun teknologi itu berpotensi meningkatkan kecekapan dalam pelbagai sektor, beberapa penyelidik menyuarakan kebimbangan terhadap risiko tertentu yang timbul daripada penggunaan dron autonomi.

    Anna Konert dan Tomasz Balcerzak dari Fakulti Undang-Undang dan Pentadbiran di Universiti Lazarski, Warsaw, memberi amaran bahawa penggunaan dron untuk tujuan ketenteraan boleh mencetuskan perlumbaan senjata atau disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti kumpulan pengganas.

    “Apabila dron mengambil alih tindakan maut, tanggungjawab mungkin beralih daripada manusia kepada mesin, menyebabkan ketidakpastian mengenai pihak yang harus dipertanggungjawabkan jika berlaku kesilapan,” tulis mereka dalam e-mel.

    “Penerbangan dron ini boleh mengurangkan halangan psikologi untuk memulakan kekerasan, berpotensi menjadikan peperangan lebih kerap dan lebih ganas,” tambahnya.

    Mereka turut menyatakan bahawa penggunaan dron autonomi yang mengurangkan kos manusia dalam konflik ketenteraan boleh ‘mendorong lebih banyak tindakan ketenteraan, mempercepatkan peningkatan konflik kerana kesan segera terhadap manusia menjadi kurang signifikan.’

    Namun, di luar aplikasi ketenteraan, penyelidik di Hungary percaya teknologi mereka berpotensi meningkatkan kehidupan manusia melalui pelbagai aplikasi lain.

    Simulasi digital mereka menunjukkan bahawa algoritma ini boleh disesuaikan untuk menyokong sehingga 5,000 dron yang terbang secara autonomi.

    Teknologi itu berpotensi digunakan dalam bidang meteorologi, kajian tanah, penghantaran barangan, dan lain-lain.

    Para penyelidik juga sedang membangunkan aplikasi pertanian untuk penyemburan tanaman secara tepat dan percaya teknologi itu mampu memainkan peranan dalam mengurangkan kebergantungan kepada pusat kawalan trafik udara apabila semakin banyak pesawat tanpa pemandu digunakan di langit. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda