KUALA LUMPUR, 16 DIS – Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky hampir memberikan markah penuh kepada beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei susulan prestasi membanggakan pada Jelajah Dunia Akhir (WTF) Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kali ini.
Daripada 10, Rexy memberikan sembilan markah kerana beliau menyifatkan masih ada ruang yang perlu diperbaiki oleh gandingan menduduki ranking kelapan dunia itu, yang berjaya mencapai kejayaan luar biasa selaku naib juara pada perlawanan akhir, semalam.
Rexy berkata sejak dari awal kejohanan di Hangzhou Olympic Sports Centre, Tang Jie-Ee Wei telah bermain dengan lebih fokus dan tidak mensia-siakan peluang untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
“Sejak itu (selepas peringkat kumpulan), mereka bermain dengan penuh keyakinan dan percaya mampu pergi lebih jauh,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Tang Jie-Ee Wei mencipta sejarah sebagai gandingan pertama dari Malaysia berjaya melangkah ke final sejak WTF mula dipertandingkan pada 2018.
Hasrat mereka untuk merangkul juara WTF 2024 tidak kesampaian apabila tewas kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, dengan keputusan 18-21, 21-14, 17-21.
Susulan itu, Rexy berharap Tang Jie-Ee Wei dapat mengekalkan fokus mereka semasa latihan dengan terus memperbaiki beberapa aspek yang perlu ditingkatkan. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/12/P23-2A_17122024.jpg)