Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Riadah Berbasikal Keputeraan 2022 meriah

    Oleh Syahmi Hassan & Mu’min Karim
    Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan menyertai acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2022 yang penuh kemeriahan.

    Riadah itu bermula di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dan berakhir di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, di ibu negara.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah serta Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Mu’min.

    Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Acara tersebut turut disertai oleh menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, para jemputan dan orang ramai termasuk warga asing.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah serta YAM Pengiran Muda Abdul Mu’min semasa berkenan menyertai Riadah Berbasikal Hari Keputeraan 2022 di ibu negara.
    Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan memulakan riadah berbasikal di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara.
    Baginda Sultan berkenan dijunjung bagi menandatangani jersi khas sempena Riadah Berbasikal Keputeraan 2022.
    ATAS & BAWAH: Gelagat orang ramai yang menyertai Riadah Berbasikal Keputeraan 2022 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-76, di ibu negara, kelmarin.

    Acara riadah berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) serta penglibatan semua kementerian yang lain dan Persekutuan Basikal Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-76.

    Ia telah dimulakan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung bagi menandatangani bingkai jersi khas sempena Riadah Berbasikal Keputeraan 2022, diikuti dengan menerima pesambah dan seterusnya sesi bergambar ramai bersama ahli jawatankuasa Riadah Berbasikal Keputeraan 2022.

    Upacara pelepasan riadah berbasikal kemudiannya bermula sejurus hon angin dibunyikan.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia mendahului riadah berbasikal mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh 1.9 kilometer dan melintasi jalan-jalan utama antaranya Jalan Pretty, Jalan Elizabeth 2, Jalan Stoney, Jalan Pehin Dato Isa, Jalan Tasek, Jalan Kianggeh, Jalan McArthur dan berakhir di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja.

    Baginda Sultan kemudiannya berkenan dijunjung bagi melancarkan Pembukaan Semula Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja.

    Riadah Berbasikal Keputeraan 2022 menggabungkan aspek gaya hidup sihat dan rekreasi dengan harapan untuk memupuk budaya sukan serta mengukuhkan lagi perpaduan masyarakat dalam penglibatan ke arah gaya hidup sihat.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda