Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribuan terkandas di terminal feri Labuan

    LABUAN, 30 MEI – Lebih 1,000 pengembara dilaporkan terkandas di Terminal Feri Roll-On Roll-Off (Ro-Ro) Labuan apabila perkhidmatan feri antara Labuan dan Menumbok bergelut untuk memenuhi lonjakan permintaan penumpang yang mahu pulang ke kampung. 

    Peningkatan jumlah penumpang itu menyaksikan lebih 10,000 penduduk dari Sabah, Sarawak dan Labuan menuju ke tanah besar Sabah dan Sarawak sempena Pesta Kaamatan, sambutan Hari Gawai dan cuti sekolah. 

    Berikutan itu, Labuan Point Enterprise, syarikat pengurusan tiket yang menyelia perkhidmatan feri Ro-Ro Labuan-Menumbok-Labuan, hari ini mengumumkan penambahan dua perkhidmatan perjalanan harian bagi memenuhi permintaan. 

    Pengurus syarikat itu, Robert Ling berkata jadual asal terdiri tujuh perjalanan tetapi dengan peningkatan permintaan, perkhidmatan ditambah kepada sembilan hingga 11 perjalanan setiap hari, melibatkan operasi gabungan feri Kimanis 1, Putrajaya 1, Joy Star dan Goodwill Star.

    Pengerusi Labuan Mainland Link Sdn Bhd, Datuk Chin Hon Vui berkata empat feri kendalian syarikatnya tidak boleh beroperasi sepanjang masa tetapi hanya sehingga 8 malam kerana had kapasiti, penyediaan kru dan atas faktor keselamatan.

    Selain itu, pengendali feri Galaxy dan Blue Ocean, Binabalu akan menyediakan tiga perjalanan setiap hari antara Labuan dan Menumbok. Bagaimanapun, tiket yang ada untuk perjalanan seterusnya hanya pada 2 Jun.

    Pengarah Jabatan Laut Labuan, Alimudin Amirudin berkata memandangkan musim cuti berterusan, pihak berkuasa menggesa pelancong merancang perjalanan dan bersabar memandangkan penyedia perkhidmatan feri sedang berusaha untuk menampung peningkatan trafik penumpang serta kenderaan. – Bernama

    Para pengembara memulakan perjalanan balik kampung pengangkutan laut feri roro dan bot laju di Terminal Feri Antarabangsa Labuan, sempena sambutan Aidilfitri pada April 2024 lalu. Lebih 10,000 terkandas akibat lonjakan permintaan penumpang. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda