TAIPEI, 30 Julai – Taiwan hari ini dilanda oleh ribut kencang kedua dalam masa dua hari selepas Taufan Nesat membadai pulau itu, yang mencederakan kira-kira 111 orang cedera sementara mengakibatkan banjir dan ketiadaan bekalan elektrik yang meluas.
Kebanyakan kawasan Taiwan lumpuh semalam selepas Nesat mendarat di kawasan timur Yilan, mengakibatkan ombak setinggi lebih kira-kira 15 meter dan membawa hujan sehingga 58 sentimeter di rantau selatan, Pingtung.
Ia bergerak meninggalkan Taiwan hari ini ketika ribut tropika Haitang menuju ke arah selatan pulau itu, mungkin mendarat di sebelah petang, menurut Biro Pusat Kaji Cuaca.
Ini adalah kali pertama dalam tempoh 50 tahun Taiwan mengeluarkan amaran bagi dua taufan.
“Walaupun kekuatan Haitang semakin berkurang, ia dijangka mengakibatkan hujan lebat di tengah dan selatan Taiwan bermula malam ini hingga esok,” menurut ramalan pengkaji cuaca Lin Ting-I.

Ribut itu berada 170 kilometer barat daya Eluanbi, yang terletak paling selatan hujung pulau itu pada pukul 3 pagi.
Lebih 10,000 orang terpaksa dipindahkan semalam, dengan 5,338 orang tentera dihantar bagi bantuan bencana.
Kebanyakan perkhidmatan kereta api ditangguhkan dan lebih 300 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan atau ditunda.
Kira-kira 111 orang cedera, kebanyakannya akibat objek-objek yang terjatuh atau dalam kemalangan kereta manakala sebilangan terbabit dalam cuaca teruk, menurut pusat operasi tengah.
Hampir setengah juta buah rumah tidak menerima bekalan elektrik apabila Nesat melanda pulau itu dengan turunan hujan lebat dan angin bergerak pada kelajuan 180 kilometer sejam. – AFP