Saturday, October 26, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribut kencang ragut 2 nyawa

    WASHINGTON, 8 OGOS – Sekurang-kurangnya dua orang maut, ribuan penerbangan Amerika Syarikat (AS) dibatalkan atau ditangguhkan, dan lebih 1.1 juta rumah dan perniagaan terputus bekalan elektrik kelmarin ketika ribut kencang, termasuk hujan batu dan ribut petir membadai timur AS.

    Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan mengeluarkan amaran puting beliung untuk kawasan DC yang lebih besar, berkuat kuasa sehingga 9 malam. Kenyataan Perkhidmatan Cuaca khas mengingatkan, “Timbul ancaman besar bagi angin ribut taufan yang merosakkan dan memusnahkan tempat, selain berpotensi membawa hujan batu besar dan puting beliung yang kuat.”

    Penyebaran ribut adalah amat meluas, dengan amaran puting beliung disiarkan di 10 negeri dari Tennessee ke New York. Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata lebih 29.5 juta orang diletak di bawah amaran puting beliung petang kelmarin.

    Di Anderson, Carolina Selatan, seorang budak lelaki berusia 15 tahun yang tiba di rumah datuknya semasa ribut dilaporkan terbunuh apabila sebatang pokok tumbang menghempapnya semasa dia keluar dari kereta, menurut Pejabat Koroner Daerah Anderson.

    Di Florence, Alabama, polis berkata seorang lelaki berusia 28 tahun mati disambar petir, lapor WAAY-TV.

    Menjelang malam Isnin, lebih 2,600 penerbangan AS telah dibatalkan dan hampir 7,900 tertunda, menurut perkhidmatan pengesanan penerbangan FlightAware. Banyak pembatalan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta, yang sedang mencari jalan keluar daripada gangguan yang disebabkan oleh ribut baru-baru ini. – AP

    Tiang elektrik tumbang menghempap sebuah kereta di persimpangan Laluan 140 dan Market Street di Westminster pada 7 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda