TOKYO, 28 JULAI – Richarlison meneruskan penampilan terbaiknya di Olimpik dengan menjaringkan dua gol ketika Brazil mara ke suku akhir setelah menang 3-1 ke atas Arab Saudi hari ini, ketika Jerman tersingkir dari kejohanan bola sepak lelaki.
Juara bertahan Brazil, yang memenangi pingat emas buat pertama kalinya di tanah air di Rio de Janeiro lima tahun lalu, menduduki tangga teratas dalam Kumpulan D dan akan berdepan naib juara Kumpulan C pada perlawanan suku akhir Sabtu ini.
Matheus Cunha menjaringkan gol pendahuluan mereka di Saitama hari ini, tetapi jaringan oleh Abdulelah Al-Amri berjaya menyamakan kedudukan buat Arab Saudi pada minit ke-30.
Keputusan seri sudah cukup memadai buat Brazil sebagai pemenang peringkat kumpulan, tetapi Richarlison menjaringkan gol pada minit ke-76 dan jaringan kedua pada masa kecederaan.
Penyerang Everton itu kini menjadi penjaring terbanyak dalam kejohanan dengan lima gol selepas hatriknya menentang Jerman di perlawanan sebelum ini. Jerman, naib juara kepada Brazil pada 2016, tersingkir selepas seri 1-1 dengan Ivory Coast, yang akan berdepan pemenang Kumpulan C di suku akhir.
Jerman perlu meraih kemenangan untuk mara, tetapi jaringan sendiri oleh Benjamin Henrichs di separuh masa kedua menggagalkan perjuangan mereka.
Jaringan penyamaan dari Eduard Lowen tidak lama kemudian memberikan mereka sedikit harapan, tetapi pasukan Ivory Coast berjaya bertahan untuk meraih tempat kedua dalam peringkat kumpulan. Korea Selatan menduduki tangga teratas Kumpulan B setelah mengalahkan Honduras yang beraksi dengan 10 orang pemain dengan mengalahkan 6-0 dan mara ke peringkat kalah mati menyertai New Zealand, yang terikat seri tanpa jaringan dengan Romania untuk mengatasi lawan mereka dengan perbezaan gol. – AFP
