Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Riise, Sheringham adakan Kem Bola Sepak di FABD

    Oleh Fadhil Yunus –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Peminat tegar tempatan kelab gergasi bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool FC dan Manchester United FC berpeluang untuk menyaksikan pemain legenda dari kedua-dua kelab iaitu John Arne Riise dan Teddy Sheringham yang tiba di negara ini.

    Legenda itu dijadualkan akan mengadakan Kem Bola Sepak selama dua hari bermula esok (27 dan 28 Januari) di Padang Bola Sepak Buatan Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), di Berakas.

    Pemain kegemaran peminat Liverpool, John Arne Riise, dan bintang penyerang Manchester United, Teddy Sheringham, menjadi tumpuan semasa sesi pertemuan dan resepsi di Bangunan PGGMB di ibu negara semalam.

    Ramai peminat berpusu-pusu ke tempat tersebut dengan jersi replika mereka dari kedua-dua buah kelab yang ditandatangani oleh wira Liga Perdana itu.

    Acara ini dianjurkan oleh Top Bins Events dengan kerjasama World Football Legends dan disokong oleh Brunei Shell Marketing.

    Satu majlis makan malam bagi mengalu-alukan legenda itu juga telah diadakan di Mutiara Ballroom, di Hotel Radisson, malam tadi.

    Kem Bola Sepak akan dibukakan untuk kumpulan umur 7 hingga 14 tahun bermula jam 9 pagi manakala kumpulan umur 15 hingga 23 tahun akan bermula pada jam 10 pagi.

    Kem latihan eksklusif itu akan menawarkan peluang yang jarang diraih kepada peminat bola sepak muda untuk membangunkan kemahiran bola sepak baharu, pemahaman tentang permainan, kerja berpasukan dan kemahiran sosial serta mewujudkan persekitaran yang menyeronokkan.

    Bekas pemain bek kiri, Riise, menikmati kegemilangan Liga Juara-Juara bersama pasukan Merseyside yang terkenal pada tahun 2005 dan mencatat namanya di Anfield berikutan rembatan kencangnya semasa kemenangan 3-1 menentang pesaing sengit Manchester United pada musim 2001-2002.

    Sementara itu, Sheringham, merupakan seorang bekas pemain yang memenangi Treble pada musim 1998-1999, yang telah menjaringkan gol penyamaan semasa United menang 2-1 ke atas Bayern Munich dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara.

    Gambar menunjukkan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Abdul Hafiz (kanan), bergambar bersama wira bola sepak EPL Riise (tiga kiri), dan Sheringham (dua kanan) dengan jersi istimewa. – GAMBAR OLEH FADHIL YUNUS
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...