KUALA LUMPUR, 1 MEI – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kini dalam proses memuktamadkan satu kajian awal terhadap usaha pembangunan produk biofuel berasaskan sekerap getah, dengan sasaran mengumumkan keberkesanan penggunaannya secara meluas seawal tahun hadapan.
Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata inisiatif dikenali sebagai ‘Green Rubber Fuel’ itu merupakan hasil usaha projek rintis kumpulan inovasi Transformation for New Generation (TR4NG) di bawah inisiatif Pejabat RISDA Jajahan (PRJ) Tanah Merah, Kelantan.
“Langkah ini disifatkan sebagai satu pendekatan strategik dan kreatif bagi menangani cabaran dihadapi industri getah negara, termasuk ketidaktentuan harga pasaran, penurunan permintaan global dan kecenderungan pekebun kecil beralih kepada tanaman lain.
“Inisiatif inovatif ini berpotensi mengangkat nama RISDA serta mengubah persepsi bahawa industri getah bukan lagi industri yang malap (sunset industry), sebaliknya ‘the new rising renewable sector’,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini.
Potensi projek biofuel getah itu sebelum ini turut disentuh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkannya mampu menjadi model pembangunan luar bandar berimpak tinggi dan memacu transformasi sektor getah ke arah masa depan lestari dan berdaya saing.
“Ujian makmal turut memperakukan bahawa komponen kimia dalam bahan api tersebut memiliki potensi tinggi untuk digunakan secara praktikal dan selamat jika dilaksanakan melalui kajian yang lebih komprehensif,” katanya.
Menurut Manndzri, anggaran satu kilogram getah sekerap mampu menghasilkan sehingga lima liter minyak biofuel dan perkara ini secara tidak langsung mampu membuka peluang baharu untuk penjanaan pendapatan kepada lebih 500,000 pekebun kecil RISDA, selain memberi nilai tambah kepada industri. – Bernama
