TAWAU, 31 JAN – Sebanyak RM1.52 juta disumbangkan melalui Program Santuni Komuniti MADANI di Sabah yang dilaksanakan selama tiga hari dan Semporna bermula 25 hingga 27 Januari lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata program itu bertujuan membantu masyarakat setempat termasuk di Pulau Mabul, Semporna dan Tawau dengan pelbagai bentuk sumbangan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Tabung Haji, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Waqaf Malaysia, Yayasan Taqwa MAIWP dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi lain yang terlibat.
“Kerjasama erat ini membuktikan keprihatinan kita dalam membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mohd Na’im berkata semoga usaha itu menjadi keberkatan dan kebajikan yang berterusan. – Bernama