KOTA KINABALU, 18 JULAI – Kerajaan Sabah memperuntukkan sejumlah RM12 juta tahun ini untuk membantu 1,600 sekolah kebangsaan dan sekolah menengah di Sabah di bawah program Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH).
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata sekolah-sekolah berkenaan akan menerima bantuan berupa kelengkapan seperti komputer, LCD projektor, printer, Smart TV, penghawa dingin dan pembesar suara mudah alih yang diberikan secara berperingkat.
Katanya BISBAH merupakan antara inisiatif bantuan-bantuan pendidikan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi memperkasakan prestasi pendidikan di negeri Sabah.
“Ia selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan pembangunan modal insan merupakan antara agenda utama yang diberi penekanan oleh kerajaan negeri,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Negeri Sabah Tahun 2023. – Bernama