Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    RM813.56 juta bagi pembangunan sektor utama Sabah

    KOTA KINABALU, 24 NOV – Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM813.56 juta melalui Belanjawan Sabah 2024 untuk pertumbuhan dan menyokong pembangunan sektor utama negeri itu iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.

    Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun ketika membentangkan belanjawan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini berkata kerajaan negeri berusaha meningkatkan hasil dan kualiti produk pertanian bagi memastikan tahap sara diri (SSL) negeri ini terus meningkat.

    Beliau berkata antara usaha berkenaan ialah melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan SSL beras daripada 22 peratus tahun ini kepada 31 peratus pada 2025 melalui penubuhan semula Lembaga Padi dan Beras dengan peruntukan sebanyak RM1.82 juta untuk tujuan pengurusan dan pentadbiran.

    “Selain itu insentif pembajakan sawah padi diberi peruntukan RM18 juta. Sebanyak RM5.16 juta antara lain untuk pemulihan tanah sawah terbiar, pembangunan padi tanah kering, penambahan bilangan jentera pembajak dan jentuai, pemberian baja pada kadar optimum serta pemberian subsidi penjualan padi,” katanya.

    Masidi berkata dalam sektor perindustrian, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM124.06 juta untuk tujuan perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi melonjakkan lagi pembangunan dalam sektor berkenaan.

    Dalam sektor pelancongan setakat Jun tahun ini, Sabah merekodkan menerima sebanyak 1.2 juta pelancong dengan anggaran pendapatan RM2.45 bilion iaitu meningkat sebanyak 69.1 peratus berbanding 708,641 orang dengan RM1.19 bilion dalam tempoh sama tahun lepas. – Bernama

    Masidi menunjukkan buku Belanjawan Negeri Sabah 2024 sempena Persidangan DUN Sabah di Bangunan DUN Sabah, Teluk Likas, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...