Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Robot comel, mampukah tambat hati masyarakat?

    FUJISAWA, JEPUN – “Maafkan saya, tumpang lalu,” kata robot beroda empat sambil mengelak pejalan kaki di jalan di luar Tokyo.

    Robot itu adalah sebahagian daripada percubaan yang diharapkan oleh syarikat perniagaan untuk menangani kekurangan buruh dan kawasan luar bandar yang terasing.

    Mulai April, undang-undang lalu lintas yang disemak akan membenarkan robot penghantar pandu sendiri untuk menavigasi jalan di seluruh Jepun.

    Di samping menangani kekurangan pekerja penghantaran di negara yang mengalami kekurangan buruh kronik, penyokong berharap mesin itu akan dapat membantu warga emas di kawasan luar bandar yang berkurangan penduduknya untuk mendapatkan akses kepada barangan.

    Presiden firma robotik ZMP, Hisashi Taniguchi, yang berpangkalan di Tokyo mengakui, terdapat cabaran untuk diatasi termasuk kebimbangan keselamatan.

    “Ia masih pendatang baharu dalam masyarakat manusia, jadi wajarlah ia dilihat dengan sedikit ketidakselesaan,” katanya kepada AFP.

    Gambar fail menunjukkan robot penghantaran Hakobo yang dibangunkan oleh Panasonic bergerak di sepanjang jalan di Bandar Pintar Lestari Fujisawa di Fujisawa, Wilayah Kanagawa. – AFP

    Seorang pekerja di pusat kawalan memantau robot penghantaran Panasonic menerusi kamera jarak jauh di Bandar Pintar Lestari Fujisawa di Fujisawa, Wilayah Kanagawa. – AFP

    Robot tidak akan beroperasi bersendirian, ia tetap akan dipantau dari jauh.

    Taniguchi berkata adalah penting untuk robot ‘merendah diri dan disayangi’ untuk mewujudkan keyakinan.

    ZMP telah bekerjasama dengan syarikat gergasi seperti Japan Post Holdings dalam percubaan membuat penghantarannya di Tokyo.

    Robot ‘DeliRo’nya menyasarkan rupa yang menawan, menampilkan mata besar dan ekspresif yang boleh menjadi sebak dalam kesedihan jika pejalan kaki menghalang laluannya.

    “Setiap kanak-kanak di sini tahu namanya,” katanya.

    Ada tujuan serius di sebalik kecomelan itu.

    Jepun mempunyai salah satu populasi tertua di dunia, dengan hampir 30 peratus warganya berumur lebih dari 65 tahun. Ramai yang tinggal di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai penduduk dan tidak mempunyai akses mudah kepada keperluan harian.

    Kekurangan tenaga kerja di bandarnya dan peraturan baharu yang mengehadkan kerja lebih masa untuk pemandu trak juga menyukarkan perniagaan untuk bersaing dengan permintaan e-dagang dan penghantaran yang didorong oleh pandemik.

    “Kekurangan pekerja dalam pengangkutan akan menjadi satu cabaran pada masa hadapan,” kata jurutera, Dai Fujikawa dari gergasi elektronik, Panasonic, yang sedang menguji robot penghantaran di Tokyo dan berdekatan Fujisawa.

    “Saya harap robot kami akan digunakan untuk mengambil alih bagi membantu mengurangkan masalah buruh,” katanya kepada AFP.

    Robot serupa sudah digunakan di negara seperti United Kingdom dan China tetapi terdapat kebimbangan di Jepun tentang segala-galanya daripada perlanggaran hingga kecurian.

    Peraturan menetapkan kelajuan maksimum enam kilometer sejam (empat batu sejam), bermakna ‘peluang kecederaan teruk akan dialami sekiranya berlaku perlanggaran yang kecil’, kata Yutaka Uchimura, seorang profesor kejuruteraan robotik di Institut Teknologi Shibaura (SIT).

    “Tetapi jika robot bergerak dari laluan pejalan kaki dan berlanggar dengan kereta kerana beberapa percanggahan antara data lokasi pra-pasang dan persekitaran sebenar, itu akan menjadi sangat membimbangkan,” katanya.

    Panasonic berkata robot Hakobonya boleh menilai secara autonomi bila hendak membelok serta mengesan halangan, seperti pembinaan bangunan, menghampiri basikal, dan ketika berhenti.

    Seorang di pusat kawalan Fujisawa secara serentak memantau empat robot tersebut melalui kamera dan dimaklumkan secara automatik apabila caj robot mereka tersekat atau dihentikan oleh halangan, kata Fujikawa dari Panasonic.

    Manusia akan campur tangan dalam kes sedemikian, dan juga di kawasan berisiko tinggi seperti persimpangan. Hakobo diprogramkan untuk menangkap dan menghantar imej masa nyata lampu isyarat kepada pengendali dan menunggu arahan.

    Ujian yang dijalankan setakat ini terdiri daripada menghantar ubat dan makanan kepada penduduk Fujisawa hingga menjaja makanan ringan di Tokyo dengan percakapan yang lembut seperti: ‘Satu lagi hari yang sejuk, bukan? Bagaimana dengan minuman panas?’.

    “Saya rasa ia idea yang bagus,” kata Naoko Kamimura yang lalu lalang selepas membeli ubat batuk dari Hakobo di jalan Tokyo.

    “Kerani kedai manusia mungkin berasa lebih meyakinkan tetapi dengan robot, awda boleh membeli-belah dengan lebih santai. Walaupun tiada apa yang awda rasa berbaloi untuk dibeli, awda boleh pergi tanpa rasa bersalah,” katanya.

    Pihak berkuasa tidak percaya jalan-jalan Jepun tidak lama lagi akan dipenuhi robot, memandangkan tekanan untuk melin-dungi pekerjaan manusia.

    “Kami tidak menjangkakan perubahan drastik serta-merta, kerana terdapat pekerjaan yang dipertaruhkan,” kata Hiroki Kanda, seorang pegawai dari kementerian perdagangan yang mempromosikan teknologi itu, kepada AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...