Thursday, December 19, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rosmah dibebaskan daripada 17 tuduhan pengubahan wang, elak cukai

    KUALA LUMPUR, 19 DIS –  Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan dan melepaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

              Hakim K. Muniandy mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu untuk membatalkan kesemua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan tersebut tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.

     

    Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) hadir bagi Keputusan permohonan untuk membatalkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kelmarin. – Bernama

    Rosmah, 73, memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan tersebut pada September 2023, dan perbicaraan dimulakan pada 12 Disember tahun lalu, selepas sebahagiannya kes ini didengar dengan keterangan daripada dua saksi.

              Hakim Muniandy berkata walaupun terdapat pendapatan yang tidak didedahkan kepada LHDN, mesti ada transaksi yang menunjukkan penglibatan tertuduh dengan pendapatan yang tidak didedahkan tersebut untuk diklasifikasikan sebagai pengubahan wang haram.

              “Kegagalan mengemukakan borang cukai pendapatan tertakluk di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP). Kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 112 ACP hanya boleh dikenakan sekiranya semua saluran yang tersedia di bawah ACP telah digunakan, namun perkara itu tidak dilakukan dalam kes ini.

              “Ini termasuk penilaian cukai pendapatan yang mesti dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Cukai Pendapatan, diikuti dengan proses rayuan yang tersedia kepada pembayar cukai di bawah Seksyen 99 hingga 102 ACP atau Bahagian VI ACP,” katanya.

              Beliau turut menegaskan bahawa penentuan akhir terhadap jumlah cukai yang perlu dibayar akan dibuat oleh Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan, dan selepas keputusan itu, pembayar cukai mempunyai pilihan untuk memohon semakan kehakiman.

              Dalam kesimpulan penghakimannya, Hakim Muniandy menyatakan bahawa berdasarkan penemuan mahkamah, beliau meluluskan permohonan tertuduh untuk membatalkan pertuduhan.

              “Perintah seperti dalam permohonan diluluskan dan kesemua 17 pertuduhan terhadap tertuduh dibatalkan. Mahkamah ini juga membebaskan dan melepaskan tertuduh daripada kesemua 17 pertuduhan tersebut,” katanya.

              Pada 4 Oktober 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.

    Pada masa ini, Rosmah sedang merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta bagi kes rasuah melibatkan projek sekolah luar bandar solar hibrid 369 sekolah. Pendengaran rayuan tersebut dijadualkan pada 5 Mac tahun depan di Mahkamah Rayuan.

              Ditemui pemberita selepas prosiding, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ahmad Akram Gharib berkata pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan hari ini.

              Rosmah ketika ditemui pemberita berkata beliau bersyukur dengan keputusan hari ini yang memihak kepadanya.

              “Alhamdulillah, pada hari ini saya telah mendapat pembebasan sepenuhnya dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peguam saya yang telah bekerja kuat…daripada hari pertama lagi mereka telah memberitahu kepada saya bahawa pertuduhan ini tidak berasas.

              “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada hakim yang telah membuat keputusan yang tepat dan inilah yang kita katakan keadilan dan semua orang patut mendapat keadilan. Itu saja yang saya ingin ucapkan sekarang. Bagi lah saya rehat sekejap, bernafas sikit. Syukur alhamdulillah,” katanya yang turut menyifatkan keputusan hari ini sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya pada 10 Disember.– Bernama

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda