Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah 2 tingkat di Perpindahan Lambak Kanan rosak terbakar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Sebahagian rumah dua tingkat mengalami kerosakan dalam kejadian kebakaran rumah di kawasan Kampung Perpindahan Lambak Kanan pada sebelah petang, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini, seramai 9 orang anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Lambak Kanan dikejarkan ke alamat insiden berkenaan dan diketuai oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘C’, SSFR Erna Azeema binti Haji Abdul Kader Jailani.

    Semasa tiba di tempatan panggilan, anggota Bomba dan Penyelamat mendapati api besar membakar keseluruhan garaj dan sebahagian rumah dua tingkat yang diperbuat daripada keseluruhan konkrit dan beratapkan spandik.

    Kebakaran berkenaan melibatkan kereta-kereta yang rosak yang digunakan bagi mendapatkan alat ganti dan kesemua penghuni rumah telah keluar sebelum kereta bomba tiba.

    Anggota Bomba dan Penyelamat segera bertindak dengan satu pasukan memakai alat pernafasan dan memadam kebakaran berkenaan menggunakan empat jet hos. Kebakaran berjaya dikawal dalam masa 10 minit dari merebak dengan punca dan anggaran masih dalam penyiasatan.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat menyarankan orang ramai supaya memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api ringan jenis debu kering 2 kilogram dan selimut api serta memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah.

    Mereka juga disarankan untuk jangan sesekali meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas supaya memastikan untuk membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan serta untuk memastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

    Orang ramai juga disarankan jika berlaku sebarang insiden kecemasan untuk menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

    Anggota Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran yang memusnahkan sebuah garaj dan merosakkan sebahagian rumah dua tingkat dalam kejadian kebakaran di kawasan Kampung Perpindahan Lambak Kanan, petang kelmarin. – Gambar serahan JBP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda