Thursday, November 14, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah 2 tingkat ranap dalam kebakaran

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Sebuah rumah jenis dua tingkat musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Telanai baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, seramai 12 orang anggota dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan dengan bantuan daripada Balai Bomba Beribi yang diketuai oleh Pemangku SO Haji Samsuddin bin Haji Abdul Wahid dan Pemangku ASO Pengiran Jefri bin Pengiran Haji Aliuddin telah dikerahkan ke insiden kebakaran rumah di Kampung Telanai pada 4 Mei lalu.

    Hadir di tempat kejadian ialah Pemangku Timbalan Pengarah, Haji Nohi Irwan Surkaki bin Haji Pawi; Pemangku Penolong Pengarah Operasi Noor Aflan bin Awang Kachi dan Pemangku ASFR Muhammad Hazwan bin Mawang.

    Semasa tiba di tempat kejadian, anggota bomba dan penyelamat mendapati rumah berkenaan telah terbakar dengan kesemua penghuni telah pun keluar dengan selamat sebelum jentera bomba sampai.

    Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memadamkan kebakaran berkenaan dengan air diperoleh daripada tangki kereta bomba dan pili bomba yang berdekatan di mana api dapat dikawal dalam masa 5 minit daripada merebak.

    Anggota bomba dan penyelamat memadam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah jenis dua tingkat dalam kejadian kebakaran di Kampung Telanai baru-baru ini.
    Anggota bomba dan penyelamat berjaya menyelamatkan haiwan peliharaan penghuni rumah semasa operasi pemadaman berkenaan.

    Semasa operasi pemadaman berkenaan, anggota bomba dan penyelamat juga berjaya menyelamatkan haiwan peliharaan penghuni rumah iaitu kucing.

    Dalam kejadian berkenaan, tidak ada korban jiwa dan kecederaan dilaporkan dengan punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

    JBP menyarankan orang ramai untuk memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api ringan jenis debu kering dan selimut api, memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah serta untuk memastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda