Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah kayu dua tingkat ranap

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Sebuah rumah dua tingkat musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku di kawasan Jalan Kuala Balai, Kampung Mumong, Kuala Belait, lewat petang, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, seramai 10 orang anggota bomba dan penyelamat serta tiga buah jentera dari Balai Bomba Kuala Belait yang diketuai oleh Stesen Komander Balai Bomba Kuala Belait, Penolong Penguasa Bomba Hanapi bin Haji Hamid, dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 6:36 petang.

    Kenyataan menyatakan bahawa rumah jenis dua tingkat yang diperbuat daripada kayu dan beratapkan spandik itu telah terbakar keseluruhannya.

    Di samping itu, kebakaran juga melibatkan sebuah stor yang diperbuat daripada dinding zink, lantai konkrit serta beratapkan spandik dan tiga buah kereta penghuni rumah berkenaan.

    Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memadamkan kebakaran dengan air diperoleh dari tangki jentera bomba dan pili-pili bomba yang berdekatan.

    Kenyataan menyatakan bahawa api dapat dikawal daripada merebak dan dalam kejadian berkenaan, tidak ada sebarang korban jiwa dilaporkan manakala punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

    JBP dalam kenyataannya menyarankan orang ramai supaya memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan iaitu alat pemadam api mudah alih jenis debu kering 2 kilogram dan selimut api, memastikan untuk menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan bangunan serta memastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

    Orang ramai juga disarankan supaya jika berlaku sebarang insiden kecemasan untuk menghubungi talian kecemasan 995 dan untuk memberikan maklumat yang tepat.

    Sebuah rumah papan dua tingkat musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku di kawasan Jalan Kuala Balai, Kampung Mumong, Kuala Belait, lewat petang kelmarin namun tiada kemalangan jiwa berlaku dan kebakaran besar berjaya dipadamkan oleh 10 anggota bomba dan penyelamat. – Gambar serahan JBP
    Kebakaran tersebut turut melibatkan sebuah stor dan tiga buah kereta penghuni rumah berkenaan.
    Rumah dua tingkat yang musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku di kawasan Jalan Kuala Balai, Kampung Mumong, Kuala Belait pada lewat petang 13 Mac.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda