Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Sebuah rumah yang diperbuat daripada kayu dan sebuah kereta musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Negalang, Temburong pada petang 30 Mei lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, seramai 15 orang anggota dari Balai Bomba Bangar yang diketuai oleh ASO Ahmad bin Haji Kassim telah dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 4:40 petang.
Apabila anggota bomba dan penyelamat sampai di tempat panggilan, rumah berkenaan telah terbakar keseluruhannya dan melibatkan sebuah kereta.
Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memadam kebakaran menggunakan dua jet hos dengan api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah berhampiran.
Kenyataan menyatakan bahawa punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan dan tidak ada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian berkenaan.
Hadir di tempat kejadian ialah Pegawai Perintah Cawangan Operasi G, Temburong, SSFR Haji Afiq bin Haji Julah dan Stesen Komander Balai Bomba Bangar, SO Jamaluddin bin Ahmad.
JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api ringan jenis debu kering 2 kilogram dan selimut api, memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah, untuk memastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik serta jangan sesekali meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan memastikan membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan sekiranya terdapat kebocoran gas.
