Kediaman mewah selebriti terkenal Paris Hilton musnah dijilat api dalam satu kebakaran hutan di California, Amerika Syarikat.
TMZ melaporkan rumah yang terletak di tepi pantai Malibu, California hangus terbakar sehingga kelihatan seperti timbunan runtuhan.
Dalam satu hantaran di Instagram, Paris mengakui terkesan melihat insiden berkenaan menerusi siaran langsung di televisyen (TV).
Jelasnya rumah tersebut disifatkan sebagai hartanah paling bernilai buatnya memandangkan ia penuh dengan memori indah bersama keluarga tercinta.
“Duduk dengan keluarga, menonton berita dan melihat rumah kami di Malibu terbakar hingga musnah secara langsung di TV.
“Saya percaya perkara ini tidak sepatutnya dialami oleh sesiapa pun. Rumah ini adalah tempat kami membina begitu banyak kenangan berharga.
“Di sinilah Phoenix (anak Paris) mengambil langkah pertamanya dan tempat kami bermimpi untuk membina keluarga,” katanya.
Paris turut berkongsi beberapa keping foto keadaan rumahnya yang musnah akibat kebakaran.
Sementara itu, pelakon itu turut menyeru orang ramai untuk membantu komuniti penduduk yang terjejas akibat bencana tersebut menerusi sumbangan kepada beberapa organisasi.
Selain Paris, selebriti Hollywood lain turut kehilangan kediaman termasuklah Mandy Moore, Adam Brody, Jennifer Love Hewitt dan Anna Faris. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/01/6-Paris_f.png)