Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Sebuah rumah di kawasan Kampung Lurong Sikuna, Kampong Ayer telah roboh keseluruhannya ke dalam air awal pagi kelmarin dan tidak ada korban jiwa dilaporkan.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), empat orang anggota dari Balai Bomba Sungai Kebun yang diketuai oleh ABK 579 Yusuf bin Haji Ahmad tiba di tempat kejadian setelah menerima panggilan.
Anggota bomba segera bertindak memasang fire line di persekitaran tempat kejadian dan mengikat rumah tersebut menggunakan tali bagi mengelakkan rumah berkenaan hanyut dan terkena rumah berdekatan semasa air pasang dan surut.
Pihak JBP juga telah membantu menghubungi agensi-agensi kerajaan yang berkenaan bagi memberi bantuan kepada keluarga yang terlibat.
JBP menyarankan orang ramai untuk memastikan tempat kediaman dalam keadaan selamat dengan membuat pemeriksaan pada struktur rumah bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Jika berlaku kecemasan, hubungi talian kecemasan 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.