Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Setelah tidak berjumpa sejak beberapa tahun yang lalu, sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini berasa lebih meriah dan istimewa kerana berpeluang berkunjung ke Negara Brunei Darussalam seterusnya berjumpa dengan rakan serta kenalan di sini.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Pendidikan Kedua, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Mohamad Maliki bin Osman kepada pihak Media Permata semasa Majlis Rumah Terbuka Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di Negara Brunei Darussalam sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 yang berlangsung di Dewan Royal Berkshire, Royal Brunei Polo & Riding Club, Jerudong, hari ini.
Turut hadir dan seterusnya mengalu-alukan kedatangan para tetamu pada majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Heng Aik Yeow serta pegawai-pegawai kanan suruhanjaya tinggi berkenaan.
TYT Dr Mohamad Maliki seterusnya berkata, “Saya begitu gembira dapat kembali berkunjung ke Negara Brunei Darussalam seperti sebelum pandemik COVID-19 dan berpeluang berjumpa dengan rakan-rakan di negara ini seperti menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan lainnya.
“Semasa pandemik COVID-19 yang cukup mencabar, meskipun tidak dapat berjumpa seperti biasa, kami juga dapat terus mengukuhkan hubungan antara kedua-dua buah negara dengan lebih baik, bekerjasama dan berkongsi informasi antara sesama negara serta saling membantu bagi mengatasi pandemik di kedua-dua buah negara,” jelas Tuan Yang Terutama.
Pada masa yang sama, beliau juga menyentuh mengenai keterujaannya menjunjung keberangkatan negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam buat kali ke-5 ke Republik Singapura pada tahun lalu yang menggambarkan hubungan istimewa yang terjalin antara kedua-dua buah negara di samping turut menyaksikan empat penandatanganan perjanjian persefahaman dimeterai.
Di samping itu, beliau turut menyentuh mengenai sambutan daripada keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri ke Republik Singapura bagi menghadiri Program Pemimpin Muda pada tahun lalu.
Tuan Yang Terutama juga mengongsikan bahawa beliau merasakan sambutan yang cukup hangat dirasakan olehnya semasa berkunjung ke negara ini pada tahun ini.
Pada majlis rumah terbuka itu, TYT Dr Mohamad Maliki juga berpeluang berjumpa dengan lebih 20 orang pelajar Singapura yang menuntut di universiti negara ini dan seterusnya berharap dapat menyaksikan lebih banyak lagi program pertukaran pelajar pada masa yang akan datang.
Majlis rumah terbuka itu bermatlamat untuk memberikan peluang kepada para jemputan untuk mengeratkan lagi ikatan persahabatan, silaturahim serta kemesraan antara Singapura dan Negara Brunei Darussalam yang telah terjalin sekian lamanya.