Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Rumah Terbuka Festival Musim Bunga meriahkan perasmian Hari China

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Kedutaan Besar Republik Rakyat China di sini, mengadakan Hari China 2024 dan Festival Musim Bunga bersempena Tahun Baharu Cina (TBC) 2024, dirasmikan hari ini pada majlis yang diselajurkan dengan Festive Season Open House di Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

    Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo dalam ucapannya berkata, China dan Brunei merupakan rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam bidang pembangunan bersama, dengan kepercayaan politik peringkat tinggi, kerjasama praktikal berkualiti tinggi, dan persahabatan yang berkekalan.

    Pada November lalu di San Francisco, kedua-dua buah negara telah mengadakan mesyuarat dua hala kedua dalam tempoh setahun dan mencapai kata sepakat penting.

    Hajah Nor Ashikin dan TYT Xiao Jianguo serta jemputan lain sama-sama menyempurnakan perasmian. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: Antara persembahan yang diadakan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara aktiviti yang diadakan semasa acara berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Pada 2023, perdagangan dua hala mencecah AS$2.81 bilion dan projek Belt and Road seperti Hengyi Industries dan Pelabuhan Muara menyuntik lebih dorongan dalam kepelbagaian ekonomi Brunei, produk eksport pertanian dan perikanan Brunei ke China mengambil langkah baharu ke hadapan, yang kesemuanya telah membawa manfaat ketara kepada kedua-dua buah negara dan rakyat.

    Tahun 2024 merupakan tahun yang sangat bermakna, di mana ia menandakan Ulang Tahun ke-75 Penubuhan Republik Rakyat China serta Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40.

    Menyentuh mengenai Hari China, Tuan Yang Terutama berkata, ia merupakan program perdana kedutaan tersebut yang telah diadakan dua kali dengan jayanya, dan telah menjadi platform yang baik dengan disambut mesra oleh rakan-rakan Brunei untuk mengetahui tentang China.

    Tahun ini, buat pertama kalinya, ia digabungkan dengan Festival Musim Bunga dan mempersembahkan bukan sahaja budaya tradisional China, malah mempamerkan perusahaan China.

    “Kami berharap melalui acara ini, rakan kongsi Brunei dapat lebih memahami mengenai China, dan pertukaran budaya dan kerjasama mesra antara kedua-dua negara dapat dipupuk dengan lebih erat,” tambah beliau.

    Majlis perasmian berkenaan turut diserikan dengan beberapa persembahan tarian naga dan persembahan lain, jual-jualan dan rumah terbuka untuk semua jemputan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...