Saturday, July 27, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Rusia lancar serangan dron terbesar sejak permulaan peperangan – Ukraine

    KYIV, 26 NOV – Rusia pada pagi kelmarin telah melancarkan serangan dron yang paling tegang ke atas Ukraine sejak permulaan pencerobohan berskala penuh pada tahun 2022, menyasarkan ibu negara Ukraine, kata pegawai tentera.

    Secara keseluruhan, Rusia melancarkan 75 dron Shahed buatan Iran terhadap Ukraine, di mana 74 daripadanya dimusnahkan oleh pertahanan udara, kata tentera udara Ukraine.

    “Kyiv adalah sasaran utama,” tulis Komander Tentera Udara Ukraine Mykola Oleshchuk di saluran Telegramnya.

    Serangan itu adalah “serangan udara paling besar oleh dron ke atas Kyiv,” kata ketua pentadbiran bandar Kyiv, Serhii Popko. Jurucakap tentera udara Ukraine, Yurii Ihnat mengesahkan kemudian bahawa pertahanan udara menembak jatuh 66 sasaran udara ke atas ibu negara dan wilayah sekitarnya sepanjang pagi.

    Sekurang-kurangnya lima orang awam cedera dalam serangan selama berjam-jam itu, yang menyaksikan beberapa bangunan rosak akibat serpihan jatuh dari dron yang tumbang, termasuk sebuah tadika. Mereka yang cedera termasuk seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, menurut Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko.

    Di daerah Solomiansky di bandar itu, serpihan meninggalkan kawah di halaman kawasan perumahan, dan tingkap bangunan berdekatan berterbangan. Penduduk, kebanyakannya warga emas, menerima rawatan perubatan di tempat kejadian. Yang lain berteduh di stesen kereta api bawah tanah berhampiran. Ketika orang ramai sedang membersihkan serpihan dan pecahan kaca di kawasan kejiranan, bunyi dengungan gelombang dron baharu kedengaran berhampiran.

    Serangan ke atas Kyiv bermula pada pukul 4 pagi waktu tempatan, berterusan dalam gelombang selama lebih enam jam, dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik di 77 bangunan kediaman dan 120 institusi, menurut Popko.

    Kementerian Tenaga Ukraine berkata 17,000 orang terputus bekalan elektrik di wilayah Kyiv akibat serangan itu, dengan menyatakan bahawa empat talian elektrik telah rosak. Kuasa dipulihkan pada awal petang.

    “Askar kami menembak jatuh kebanyakan dron. Malangnya, bukan semua,” tulis Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy di Telegram. “Tetapi kami terus berusaha untuk mengukuhkan pertahanan udara kami dan menembak lebih banyak lagi.” – AP

    Sebuah tadika yang rosak berikutan serangan dron Rusia di Kyiv, Ukraine, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...