JAYAPURA, INDONESIA, 29 OGOS – Insiden rusuhan kembali mengganas di Papua Indonesia ketika para penunjuk perasaan marah dan membakar bangunan di ibu kota setelah hampir dua minggu berlakunya rusuhan dan demonstrasi di wilayah paling timur di kepulauan itu.
Lebih daripada seribu penunjuk perasaan berarak di sekitar Jayapura melemparkan batu dan membakar kedai-kedai serta bangunan berikutan pemberontakan maut di bahagian lain dari wilayah yang berkongsi pulau dengan Papua New Guinea yang merdeka.
Para pembantah membawa pelekat yang mengandungi imej bendera yang diharamkan, ramai yang meminta kemerdekaan daripada pemerintahan Indonesia dan ingin mengakhiri perkauman terhadap kumpulan minoriti.
Penduduk Papua adalah etnik Melanesia dan mempunyai sedikit hubungan budaya dengan seluruh Indonesia. Syarikat penjanaan kuasa PLN berkata keganasan itu memaksa mereka untuk memutuskan bekalan elektrik di bahagian-bahagian Jayapura, sebuah bandar yang mempunyai kira-kira 300,000 orang.
“Beberapa kemudahan dan bangunan awam rosak oleh para perusuh,” kata jurucakap Polis Negara, Dedi Prasetyo.
“Pasukan keselamatan masih cuba mengawal keadaan,” katanya.
Protes itu berlaku sehari selepas keganasan meletus di Deiya, di mana pertembungan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan Indonesia mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang askar dan dua penunjuk perasaan maut, menurut para pegawai.
Bantahan dilakukan di tengah laporan, orang awam ditembak pasukan keselamatan ketika perhimpunan antiperkauman di wilayah Deiyai, Papua. Saksi berkata, enam penunjuk perasaan maut dan sekurang-kurangnya tiga lain cedera dalam insiden itu.
Pihak berkuasa menafikan tuntutan tersebut dan mengatakan bahawa mereka diserang oleh ratusan penduduk Papua yang bersenjatakan parang, busur dan anak panah. – AFP
