Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Rybakina akan menentang Kostyuk di final Terbuka Stuttgart

    STUTTGART, 21 APRIL – Elena Rybakina menamatkan rekod 10 kemenangan berturut-turut juara bertahan, Iga Swiatek di Stuttgart kelmarin untuk mara ke final kejohanan gelanggang tanah liat.

    Pilihan keempat, Rybakina berjaya melepasi pertembungan separuh akhir mereka 6-3, 4-6, 6-3, mengejutkan pemain nombor satu dunia dari Poland yang merangkul dua gelaran terakhir pada acara Jerman itu.

    Rybakina akan menentang pemain Ukraine, Marta Kostyuk yang menewaskan juara Wimbledon, Marketa Vondrousova 7-6 (7/2), 6-2 pada separuh akhir kedua kelmarin untuk merebut gelaran.

    Rybakina kini mempunyai rekod pertemuan 4-2 dalam kerjaya menentang pemenang Grand Slam empat kali, Swiatek dan akan beraksi di final kelimanya pada 2024 hari ini.

    “Seperti biasa ia merupakan perlawanan yang sangat sukar,” kata Rybakina mengenai lawannya.

    Aksi Elena Rybakina semasa perlawanan separuh akhir mereka di kejohanan WTA Grand Prix Tenis Wanita di Stuttgart, barat daya Jerman, pada 20 April. – AFP

    “Servis saya banyak membantu pada saat-saat penting. Saya berjuang untuk bola.

    “Ia merupakan perlawanan yang begitu sengit. Saya sangat gembira kerana berjaya menang dan dapat menunjukkan permainan yang baik,” ujarnya.

    Pemenang kejohanan Stuttgart, yang ditaja oleh syarikat kereta Jerman Porsche, menerima sebuah kereta tetapi Rybakina mendedahkan hadiah itu tidak berguna baginya.

    “Saya sebenarnya tidak mempunyai lesen memandu,” kata Rybakina, 24, yang memenangi gelaran musim ini di Adelaide dan Abu Dhabi dan tempat naib juara di Doha dan Miami.

    Kostyuk hanya mengambil masa satu jam 35 minit untuk menewaskan pemain nombor lapan dunia Vondrousova, hanya sehari selepas mengharungi aksi epik tiga set menentang juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan pemain nombor tiga dunia, Coco Gauff. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...