Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Negara Brunei Darussalam menyaksikan satu lagi peristiwa penting dalam transformasi industri telekomunikasi dengan penyerahan aset Telekom Brunei Berhad (TelBru) kepada Unified National Network (UNN), hari ini.
Majlis pertukaran kunci bagi menandakan pemindahan aset berkenaan berlangsung di Perkarangan TelBru House (TelHouse), Jalan Sumbiling, Bandar Seri Begawan dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku pengerusi TelBru.
Majlis bersejarah itu menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman bertukar-tukar kunci dengan Ketua Pegawai Eksekutif UNN, Dr Steffen Oehler.
Penyerahan aset berkenaan adalah sebahagian daripada strategi negara untuk menyediakan perkhidmatan telekomunikasi yang lebih baik untuk rakyat Brunei pada masa yang sama menggalakkan pembangunan ICT di negara ini.
Awang Ahmad Jefri berkata, sebagai infrastruktur penting di negara ini, TelHouse berfungsi sebagai hab penghantaran data dan menghoskan beberapa lawatan pelajar di negara ini malah menyaksikan beberapa daripada mereka menyertai TelBru.

Sebagai sebahagian dari-pada transformasi industri telekomunikasi, kesemua aset infrastruktur telekom di negara ini diserahkan kepada UNN berkuat kuasa 1 September 2019.
Pemindahan berkenaan bukan sahaja penyerahan aset bangunan, bahkan juga pertukaran talian telefon di keempat-empat daerah dan menara telekomunikasi.
Bangunan TelBru sudah dikenali sejak dulu lagi dan ia merupakan bangunan tertua dalam organisasi TelBru di mana bangunan atau syarikat berkenaan memberikan pelbagai perkhidmatan telefon, Internet dan banyak lagi kepada orang ramai.
Sejak 1978, TelHouse terdiri daripada tiga bangunan berasingan bermula dengan pusat utama bangunan dan selang beberapa tahun meningkatkan kapasiti ba-ngunan di bahagian belakang dan depan.
Bangunan berkenaan telah berfungsi sebagai rumah kedua bagi pegawai dan kakitangan TelBru, yang keba-nyakannya telah berkhidmat lebih 25 tahun Mereka mula
berkhidmat sejak tertubuhnya Jabatan Telekom Brunei dan sehingga sekarang memberikan perkhidmatan terbaik untuk mencapai misi jabatan kerajaan sehingga sekarang.
Pertukaran aset berkenaan merupakan satu perkara baik yang boleh meningkatkan lagi mutu syarikat untuk memberikan yang terbaik kepada orang ramai.
TelBru amat berbangga menyerahkan aset kepada pihak UNN, demi mencapai standard tertinggi dalam syarikat dan tidak ketinggalan untuk masyarakat di Negara Brunei
Darussalam.
Pada majlis itu, seramai 60 orang kakitangan TelBru yang telah berkhidmat selama 25 tahun dijemput pada majlis berkenaan. Kakitangan berkenaan telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang dalam mencapai visi dan misi sejak Jabatan Telekom Brunei lagi.