KOTA KINABALU, 28 Mac – Kerajaan Sabah sudah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan supaya kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya peringkat Parlimen dengan cadangan pertambahan kawasan dilaksanakan di Sabah, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman.
Dalam kenyataan di sini, malam ini, dia berkata permohonan itu dibuat susulan daripada cadangan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan mendapat kelulusan DUN Sabah. Antara asas permohonan kajian semula persempadanan kawasan Parlimen di Sabah yang dikemukakan ialah kali terakhir persempadanan dan pertambahan kawasan Parlimen di negeri itu dilaksanakan pada tahun 2003, katanya.
Menurutnya permohonan itu juga berasaskan kepada keperluan untuk menambah jumlah perwakilan Sabah dalam Parlimen sejajar dengan status dan kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia serta keluasan luar biasa sesetengah kawasan Parlimen di Sabah termasuk melebihi saiz beberapa negeri di Semenanjung. – Bernama