WUHAN, 11 OKT – Aryna Sabalenka dan Coco Gauff bakal berentap di separuh akhir Terbuka Wuhan selepas masing-masing meraih kemenangan meyakinkan, hari ini.
Pemain pilihan utama kejohanan, Sabalenka, mencatatkan kemenangan 6-2, 6-2 ke atas pemain Poland, Magdalena Frech, untuk mencatat kemenangan ke-15 berturut-turut di Wuhan, di mana dia pernah menjadi juara pada 2018 dan 2019.
Manakala pemain pilihan keempat, Gauff, dengan mudah menewaskan pemain Poland, Magda Linette, 6-0, 6-4 untuk melanjutkan rentetan kemenangan semasanya kepada lapan perlawanan, setelah menjulang trofi di Terbuka China di Beijing minggu lalu.
Pertemuan separuh akhir antara Sabalenka dan Gauff bakal menyaksikan salah satu rekod kemenangan akan lebur, apabila kedua-dua pemain bertemu buat kali kelapan. Gauff kini mendahului 4-3 dalam rekod pertemuan mereka, namun Sabalenka memenangi pertembungan terakhir di separuh akhir Terbuka Australia, Januari lalu.
“Saya rasa perkara utama adalah fokus kepada diri sendiri, fokus pada pergerakan kaki saya, berlari ke jaring dan menamatkan mata di situ,” kata Sabalenka mengenai strategi menentang Gauff.
“Di permukaan yang perlahan seperti ini, saya perlu berani untuk mendapatkan mata di jaring. Rancangan itu berjaya dengan baik dalam pertemuan terakhir kami, jadi saya akan teruskan dengan rancangan itu. Saya akan cuba beri tekanan sebanyak mungkin kepadanya,” tambahnya. – AFP