Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Sabre Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Sabre Travel Network (Brunei) Sdn Bhd telah menghimpunkan para peneraju industri pelancongan bagi acara amal Sungkai Charity’s Dine and Donate ke-6 di Restoran Emperor’s Court, kelmarin.
Majlis yang dianjurkan oleh Restoran Emperor’s Court tersebut dihadiri seramai 40 orang tetamu, termasuk Lembaga Pengarah Sabre, agensi pelancongan Sabre Brunei, rakan kongsi dari Bank Baiduri dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) untuk mengumpul dana bagi Persatuan Orang-Orang Berkerusi Roda dan Cacat Anggota (PAPDA).
Pengurus Besar Sabre Brunei, Awang Abdul Halim bin Haji Abdul Rahman dipetik berkata, “Sebagai sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat terutamanya pada bulan Ramadan yang mulia ini, Sabre berbesar hati menyokong inisiatif ini yang dianjurkan oleh Restoran Emperor’s Court.
“Acara seperti ini bukan sahaja menyediakan platform untuk ahli industri untuk bersama-sama berkhidmat untuk komuniti tetapi pada masa yang sama memacu perubahan sosial yang positif bersama-sama dengan pekerja dan pelanggan kami,” ujarnya.
Tambah beliau, “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada agensi pelancongan dan rakan kongsi kami kerana menghadiri acara ini, dan atas sokongan berterusan mereka”.
Presiden Anthony Tours and Travel Sdn Bhd, Anthony Lim pula berkata, “Ini adalah peluang yang baik untuk bertemu dengan Sabre dan rakan-rakan lain daripada industri pelancongan untuk membantu memperkayakan komuniti dan pada masa yang sama menyumbang kepada tujuan luar biasa.”